SUNGAI DUA – Projek Saluran Paip Kedua Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP ke-2) mencapai kemajuan 98 peratus setakat jam 4 petang hari ini.
Serentak itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penggunaan teknologi ‘line stopping’ dan ‘hot tapping’ dalam kerja-kerja penyambungan saluran paip utama berkaitan turut memastikan bekalan air kepada kira-kira 26,000 pengguna di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) tidak terganggu sepanjang proses pelaksanaan projek berkenaan.

Menurut beliau, secara keseluruhan, terdapat empat lokasi saluran paip bawah sungai yang terlibat dalam projek berkaitan iaitu di Ampang Jajar, Kampung Telok, Aur Gading atau Pengkalan Tambang dan Kampung Bagan Serai.
“Kerja-kerja penggantian serta pembinaan ‘bypass’ ini bermula pada Januari 2025, dan dua lokasi di Ampang Jajar dan Kampung Telok telah berjaya disempurnakan pada April 2025.
“Bahagian saluran paip baharu akan mula beroperasi sepenuhnya hari ini, manakala semua kerja di tapak projek termasuk penanggalan mesin ‘line stopping’ dijangka siap hari ini juga, iaitu lebih awal daripada jadual asal.
“Apa yang lebih penting, PBAPP (Perbandanan Bekalan Air Pulau Pinang) berjaya mengelakkan gangguan bekalan air berjadual yang berpotensi menjejaskan kira-kira 26,000 pengguna air di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya semasa sesi sidang media seusai lawatan tapak projek berkenaan dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan; Ketua Pegawai Operasi PBAPP, Rosyidi Lat; Ketua Pegawai Kewangan PBAPP, Dr. Mary Ann Harris dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat PBAPP, Joyce Lee Suan Imm.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pendekatan baharu berkaitan wajar dipertimbangkan sebagai kaedah utama bagi kerja-kerja penyambungan saluran paip utama pada masa hadapan.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan PBAPP supaya mengguna pakai protokol Tanpa Gangguan Bekalan Air Berjadual bagi kerja-kerja saluran paip utama pada masa hadapan, tertakluk kepada kesesuaian keadaan,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Pathmanathan memaklumkan bahawa kerja-kerja semasa bagi dua sambungan di dua lokasi menelan kos sekitar RM3.2 juta termasuk pembinaan ‘bypass’ sementara.
“Secara keseluruhan, jumlah kos bagi pelaksanaan kerja-kerja di keempat-empat lokasi saluran paip menyeberangi Sungai Perai ini adalah sebanyak RM18.6 juta.
“Kejayaan ini amat penting bagi memastikan kebolehpercayaan sistem bekalan air Pulau Pinang serta meminimumkan kesulitan kepada para pengguna,” jelasnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI