BUKIT TENGAH – Projek pelebaran dan menaik taraf Jalan Tok Kangar Fasa 2 di Seberang Perai Tengah kini mencatatkan kemajuan sebanyak 29 peratus, iaitu melebihi jadual asal sebanyak satu peratus.
Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari melalui kenyataan media bertarikh 7 November 2025.
Menurut Zairil, projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2026.
Kerajaan Negeri komited untuk memastikan projek pelebaran dan menaik taraf Jalan Tok Kangar (Fasa 2) siap mengikut waktu yang ditetapkan.
“Berdasarkan laporan kemajuan semasa, pelaksanaan kerja-kerja di tapak berada dalam keadaan memuaskan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara aktiviti yang sedang dijalankan di tapak adalah kerja-kerja pembuangan pasir dan penyediaan platform ‘piling’ bagi Jambatan 3; pemasangan ‘kerb’ jalan di beberapa jajaran; fabrikasi tetulang ‘micropile’ untuk Jambatan 2 serta kerja-kerja tampalan dan pemasangan lampu jalan.
Zairil berkata, projek tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan aliran trafik malah keselamatan pengguna di kawasan perindustrian Jalan Perusahaan hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Tok Kangar.
Dalam kenyataan sama, Zairil turut merakamkan penghargaan kepada pengguna jalan raya di kawasan tersebut atas kerjasama dan kesabaran mereka sepanjang tempoh pembinaan.
“Saya berharap rakyat Pulau Pinang dapat bersabar sedikit masa lagi untuk menikmati manfaat penuh apabila projek Jalan Tok Kangar Fasa 2 ini siap dan dibuka kepada umum,” katanya.
Projek pelebaran dan menaik taraf itu dilaksanakan oleh kontraktor Igneus Setia Sdn. Bhd. dengan Adroit Consulting Engineers Sdn. Bhd. sebagai perunding utama.
Gambar: EXCO