Projek perintis di Padang Tembak lebih mudah dilaksanakan berdasarkan Akta Pembaharuan Semula Bandar – Exco

Admin
84ff6bd8 aae4 4638 9da4 3b703ec60ae7

GEORGE TOWN – Di bawah Pelan Induk Perancangan Pembangunan Rumah Mutiaraku (RMku), Kerajaan Negeri telah meluluskan beberapa projek perintis termasuk Pembaharuan Semula Bandar (PSB) Padang Tembak yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata bahawa projek-projek perintis tersebut lebih mudah dilaksanakan jika Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar dibentangkan pada bulan Julai nanti.

“Pengubalan akta ini diyakini dapat memudahkan pelaksanaan projek-projek pembaharuan semula bandar, di samping melindungi hak-hak pemilik sedia ada secara lebih berkesan,” jelasnya dalam Sesi Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 Mei 2025

Dalam perkembangan lain, Sundarajoo menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sebelum ini telah meluluskan pemberimilikan tanah kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seluas 27.59 ekar dengan tempoh pajakan 60 tahun mulai 2007.

Selari dengan tujuan asal pemberimilikan tanah itu, beliau memberitahu bahawa agensi Persekutuan tersebut perlu meneruskan program penempatan semula nelayan di Kuala Juru.

“Susulan kunjungan hormat saya bersama-sama YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, (Gooi Hsiao-Leung) dan wakil LPNPP, kos serta reka bentuk awalan telah disediakan oleh pihak lembaga (LPNPP) sebagai input kepada LKIM Negeri Pulau Pinang untuk pertimbangan lanjut oleh ibu pejabat utama,” ujarnya yang juga ADUN Perai.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS