GEORGE TOWN – Sejak Januari 2025, kerja-kerja pembinaan dan pemasangan sistem Quantum Thermal Pyrolysis Cracking (QTPC) sedang dilaksanakan di dua ladang ternakan babi dekat Kampung Selamat iaitu PU006 dan PU015.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) akan membuat pemantauan terhadap parameter Biochemical Oxygen Demand (BOD) dan Ammoniacal Nitrogen (AN) bagi kedua-dua ladang itu selama dua minggu setelah projek perintis tersebut selesai bagi menilai keberkesanan sistem QTPC.
“Sekiranya pemantauan yang dilakukan memberi hasil positif, projek ini akan diteruskan kepada semua ladang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak dalam Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 di sini pada 20 Mei 2025.
Menurutnya lagi, JPVPP menetapkan tempoh bagi pembangunan sistem tersebut ke atas 61 buah ladang berkenaan adalah sehingga 1 Jun 2025.
Sebelum itu, ADUN Permatang Berangan, Mohd. Sobri Saleh meminta Fahmi menjelaskan mengenai sebab-musabab pencemaran Sungai Kereh akibat pembuangan najis babi masih berlaku.
Wakil rakyat pembangkang berkenaan turut meminta Fahmi menjelaskan jangka masa untuk isu malar segar tersebut dapat diselesaikan.
Dalam reaksi balas, Fahmi memberitahu bahawa cadangan pemindahan najis babi daripada Kampung Selamat ke biogas dekat Valdor tidak dapat dilaksanakan bagi mengelak sebarang risiko penularan penyakit berjangkit yang berkemungkinan dibawa melalui najis, kenderaan atau pekerja yang terlibat dalam proses pemindahan tersebut.
Susulan itu, beliau berkata Persatuan Penternak Babi Seberang Perai Utara pada 1 Disember 2024 telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan syarikat HRBQ Tech Sdn. Bhd. bagi membangunkan sistem QTPC di setiap ladang secara berfasa.
“Satu perjumpaan antara syarikat berkenaan, JPVPP serta semua penternak babi di Kampung Selamat telah diadakan pada 17 Disember 2024 bagi mendapatkan maklum balas tentang pelaksanaan sistem rawatan ini,” jelasnya.
Kata Fahmi, susulan perjumpaan tiga pihak berkenaan membawa pada pelaksanaan projek perintis di dua ladang iaitu PU006 dan PU015.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT