Projek RTB siap, bantu tangani risiko banjir di Taman Sejahtera

img 20260203 wa0035

MACHANG BUBUK – Seramai 500 penduduk di Taman Sejahtera kini menarik nafas lega apabila projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di sini siap, sekali gus membantu mengurangkan risiko kejadian banjir di kawasan tersebut.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata projek yang telah siap sepenuhnya pada September tahun lepas itu menelan kos keseluruhan berjumlah RM2.7 juta.

“Sebenarnya kawasan Taman Sejahtera merupakan salah satu kawasan hotspot banjir, purata sebanyak sembilan kali setahun dengan paras air boleh mencecah setinggi 300 milimeter (mm).

“Justeru, untuk menangani isu banjir ini, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah memohon peruntukan daripada caruman perparitan di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Tebatan Banjir.

“Susulan itu, kerja-kerja fizikal projek ini telah dimulakan pada April 2023 dan siap sepenuhnya pada 5 September tahun lepas,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan projek tersebut dekat sini sebentar tadi.

img 20260203 wa0036img 20260203 wa0039img 20260203 wa0033

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon; Ahli Majlis bagi MBSP, K. Yoganraj Thever dan wakil penduduk setempat.

Zairil berkata, skop projek tersebut adalah melibatkan kerja-kerja kejuruteraan yang komprehensif bagi memastikan sistem saliran di Taman Sejahtera mampu menampung kadar hujan yang tinggi dengan purata sebanyak 65mm sejam.

“Skop kerja utama projek ini termasuklah menaik taraf sistem perparitan yang melibatkan penggunaan U-drain dan box culvert pelbagai saiz di Lorong Sejahtera 9, 10, 11, 13, 15, 24A, 25 dan Jalan Sejahtera 4.

“Selain itu, kita juga telah menaik taraf kolam takungan sedia ada seluas 959 meter (m) persegi dan membina kolam takungan baharu seluas 666.6m persegi.

“Kerja-kerja menaik taraf lantai masuk (entrance) bagi 500 buah rumah dan kerja-kerja menurap semula jalan di sepanjang jajaran terlibat, serta pengalihan utiliti juga turut dijalankan,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Sementara itu, Khai Loon menyifatkan RTB Taman Sejahtera sebagai projek berimpak tinggi yang amat penting bagi penduduk di kawasan tersebut.

“Melalui ujian yang kita jalankan, kita dapati bahawa sejak projek ini siap dibina risiko banjir telah berkurang semasa berlaku hujan lebat.

“Jadi, projek ini boleh dikatakan dibuat dengan cepat dan tepat untuk menangani kejadian banjir yang berlarutan lebih 13 tahun di kawasan ini.

“Saya mewakili pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penduduk Taman Sejahtera mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, khasnya MMK Tebatan Banjir yang dipimpin oleh YB Zairil Khir Johari kerana telah meluluskan projek ini, sekali gus mengatasi masalah yang telah lama membelanggu penduduk di sini,” katanya

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS