GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon menyifatkan projek pembinaan jalan baharu yang menyambungkan Jalan Machang Bubuk 1 ke Taman Santuari di Jalan Seladang sebagai langkah penting untuk mengatasi isu kesesakan trafik di Jalan Kulim yang semakin kritikal.
Beliau menyatakan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Pulau Pinang sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini sebentar tadi.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyatakan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyenaraikan projek ini dalam Rancangan Negeri Pulau Pinang 5 (RNPP5).
“Projek ini amat penting kerana kesesakan lalu lintas di Jalan Kulim semakin kritikal.
“Tambahan pula, kos pengambilan balik tanah untuk jalan baharu ini hanyalah RM46.44 juta jauh lebih rendah berbanding dengan RM100 juta untuk pelebaran Jalan Kulim.
“Maka, pembinaan jalan baharu ini bukan hanya menjimatkan kos, malahan dapat mewujudkan laluan alternatif strategik untuk penduduk di kawasan Machang Bubuk serta penambahbaikan ketersambungan jalan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khai Loon turut membangkitkan mengenai kejadian banjir kilat yang sering berlaku di Jalan Alma-Bukit Minyak (Isuzu sehingga ke Shell) walapun projek pelebaran jalan telah siap dijalankan tahun lepas.
“Saya menghargai jawapan Kerajaan Negeri yang menyatakan bahawa punca utama ialah fenomena air laut pasang tinggi menyebabkan aliran balik ke
dalam sistem longkang jalan.
“Namun, persoalan saya adalah kenapa perancangan dan rekabentuk jalan telah mengambil kira data hidrologi tetapi realitinya, jalan baharu tersebut masih gagal menangani perubahan cuaca dan paras air sungai.
“Justeru, saya mengambil kesempatan ini juga menyeru Kerajaan Persekutuan agar meluluskan permohonan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kilang Ubi supaya penyelesaian jangka masa panjang dapat dilaksanakan,” serunya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING