Projek sambungtara talian atas TNB tingkatkan sistem daya harap tenaga negeri

Admin
e9247412 1b5c 469f 9dcb d7755884caea DARI Jambatan Pulau Pinang kini memang boleh dilihat tiga tiang menara (monopole) bagi projek sambungtara talian atas yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.

USAHA pengukuhan bekalan elektrik ke bahagian Pulau melalui projek sambungtara talian atas sepanjang 8.5 kilometer (km) yang dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) merentasi perairan negeri serta selari dengan Jambatan Pulau Pinang sehingga 5 Mac 2024 dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini juga.

Sebanyak 31 ‘monopole’ atau tiang menara – termasuk enam tiang dengan reka bentuk buah pinang – yang sedang dibina dengan 62 peratus tahap pemajuan, kelak akan menjadi satu lagi mercu tanda keunikan Pulau Pinang serta dijangka menjadi tarikan pelancongan baharu ke negeri ini.

ac36f512 ab2e 472b b302 e544a1b68a8b
ISMAIL Lathifi Teh

Pengurus Besar Negeri TNB, Datuk Ismail Lathifi Teh dalam bicarawara bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD di Wisma TNB dekat Jalan Anson pada 6 Mac 2024 antara lain memberitahu bahawa firma operator tenaga negara itu melaburkan kira-kira RM500 juta bagi memastikan permintaan tenaga senantiasa terjamin dan mampan bagi memenuhi keperluan pembangunan masa depan di Pulau Pinang terutama ke bahagian pulau.

“Sekarang dah didirikan tiga tiang menara (monopole) biasa yang tingginya 60 meter (m), menjelang hujung bulan Mei (2024) akan didirikan enam tiang menara mercu tanda dengan ada reka bentuk buah pinang setinggi 100m.

“Daripada 31 tiang menara yang akan didirikan, 26 tiang menara di laut manakala lima lagi (tiang menara) akan didirikan di darat.

“Jajaran projek ini adalah Perai, Pelabuhan Pulau Pinang akan menyeberang selari dengan Jambatan Pulau Pinang, ke Batu Uban dan berakhir di atas sebidang tanah milik Kementerian Pertahanan Malaysia dekat (projek pembangunan bercampur) The Light,” jelasnya.

4e009c89 c382 413f 99ae b6a38eed244c
STRUKTUR tiang menara biasa yang telahpun didirikan di perairan negeri dekat Jambatan Pulau Pinang.

Bercerita lanjut, Ismail Lathifi memberitahu bahawa pembinaan 31 tiang menara itu sebenar adalah salah satu dari empat komponen utama projek tersebut.

“Komponen lain yang turut akan dibina adalah pembesaran stesen janakuasa sedia ada di Perai, pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) baharu dekat The Light serta kerja-kerja penyambungan infrastruktur dari PMU Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light,” jelasnya lagi.

Sebelum projek baharu ini siap, sambungtara talian tenaga ke bahagian pulau adalah melalui tiga kaedah, antaranya kabel lama bawah laut dengan kapasiti 90 kilovolt (kV).

Kaedah kedua, sambungtara talian kabel berkapasiti 275kV di bawah Jambatan Pulau Pinang yang berusia kira-kira 40 tahun, begitu juga kabel bawah laut berkapasiti 275kV dari Juru ke Bayan Lepas.

Ismail Lathifi memberitahu bahawa TNB juga mempunyai SJ sendiri di Gelugor dengan hayat operasi sehingga 31 Ogos tahun ini.

“(Dan) dengan beroperasi sambungtara talian atas nanti, sepatutnya SJ Gelugor dihentikan sepenuhnya, tetapi kita (TNB) akan membangunkan semula stesen janakuasa tersebut sebagai satu lagi pelan sokongan bekalan tenaga pada masa hadapan.

“Amat rugi apabila SJ Gelugor ini di atas tanah milik TNB sendiri, telah ada fasiliti di atas tanah itu, tetapi kita (TNB) tidak menaik taraf semula tempat itu sebagai pelan sokongan (tenaga).

“SJ Gelugor ketika ini membekalkan 40 peratus tenaga ke bahagian Pulau, ini bermakna 60 peratus lagi tenaga disambungtara talian dari (tanah besar) Seberang Perai,” jelasnya lagi sambil memberitahu SJ Gelugor hampir berusia 21 tahun.

Tambah beliau lagi, buat masa ini permintaan tenaga bagi semua sektor domestik dan komersial sekitar bahagian Pulau adalah kira-kira 800kV berbanding 2,000 megawatt (MW) kapasiti tambahan tenaga elektrik apabila projek sambungtara talian atas siap kelak.

“TNB memang memberi penekanan supaya permintaan tenaga ke bahagian Pulau senantiasa berdaya harap.

“Semasa saya mula-mula bekerja di Pulau Pinang pada tahun 1986, gangguan bekalan elektrik di negeri ini dalam setahun adalah lebih 300 minit atau lima jam.

“Tetapi, sistem berdaya harap di Pulau Pinang sekarang sudah bertaraf dunia, iaitu (gangguan bekalan tenaga) kurang 50 minit (setahun); yang mana kedudukan negeri ini sama seperti negara United Kingdom dan Australia,” katanya lagi.

Mengakhiri bicarawara, Ismail Lathifi, 60, yang akan bersara wajib pada tahun ini berkata pihaknya senantiasa berharap pengukuhan bekalan elektrik ke bahagian pulau melalui sambungtara talian atas sepanjang 8.5km adalah penting bagi memenuhi permintaan tenaga khusus di bahagian Pulau.

“Di Pulau Pinang, jangkaan permintaan tenaga utama yang akan dapat adalah apabila wujudnya (sebuah pulau buatan yang dikenali sebagai) Silicon Island; projek transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas ke George Town (yang akan berakhir di Penang Sentral, Butterworth); dan Zon Industri Bayan Lepas dari segi beban permintaan tenaga akan kian meningkat walaupun saiz tanah industri di sana ketika ini adalah terhad.

“Dari segi jualan, TNB melihat Pulau Pinang adalah ‘negeri tenaga’ yang begitu penting untuk menjana pertumbuhan pelaburan dan pembangunan infrastruktur ekonomi.

“Ini kerana, Pulau Pinang (dari segi jualan) merupakan negeri keempat di belakang Selangor diikuti Johor dan ketiga adalah Kuala Lumpur.

“Sebab itu, projek sambungtara talian atas yang sedang dilaksanakan ini adalah penting bagi memastikan perbekalan tenaga di negeri ini terus berdaya harap,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbirannya Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta semua jabatan kerajaan berkaitan yang terlibat dalam memudah cara di sebalik projek ini.