GEORGE TOWN – Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dijangka kian kukuh dengan unjuran pulangan hasil sehingga RM1.31 bilion melalui projek World City sedia ada dan projek terbaharu, Linear Waterfront.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menekankan bahawa projek-projek tebus guna di persisiran Queensbay tersebut adalah contoh yang jelas berhubung sinergi antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Kerajaan Negeri hari ini.
“PDC, bersama Kerajaan Negeri, terus memainkan peranan penting dalam merancang dan memacu pembangunan sosioekonomi Pulau Pinang.
“Kerjasama ini memberi tumpuan kepada menarik pelaburan berkualiti, membangunkan kawasan strategik dan pada masa yang sama menjana hasil kepada negeri,” responsnya dalam sesi Ucapan Penggulungan Exco, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 20 November 2025.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa pelaksanaan dua projek pembangunan utama itu turut membuka peluang ekonomi baharu, meningkatkan nilai hartanah serta akan mengubah lanskap kemajuan di sekitar persisiran Queensbay.
Difahamkan, penjelasan itu sebagai respons pada soalan beberapa penyokong kerajaan (backbenchers) termasuk ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik supaya peranan PDC serta agensi-agensi negeri lain yang dilihat strategik supaya diperkasa serta menjana hasil baharu kepada Kerajaan Negeri.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menjelaskan faktor penyumbang pada peningkatan tunggakan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2024 berbanding 2024.
Berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan WP10.6 Pengurusan Akaun Belum Terima (ABT), Kon Yeow memberitahu bahawa ABT ditakrifkan sebagai ‘amaun yang sepatutnya diterima tetapi belum diterima oleh Kerajaan yang wujud daripada peristiwa lampau, manakala tunggakan pula ditakrifkan sebagai ‘amaun ABT yang belum diterima yang melampaui tempoh matang yang telah ditetapkan’.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa pada tahun 2024, Akaun Belum Terima Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM315.80 juta, yang mana jumlah tersebut meningkat sebanyak RM221.15 juta (233.4 peratus) berbanding RM94.65 juta pada tahun 2023.
“(Peningkatan tunggakan hasil Kerajaan Negeri) ini adalah disebabkan mulai tahun 2024, pelaporan ABT mengambil kira hasil premium tanah.
“Sebahagian besar ABT ini, adalah dari cukai tanah berjumlah RM71.58 juta, premium tanah berjumlah RM203.44 juta dan sewaan serta caj penyelenggaraan perumahan di bawah penyeliaanLPNPP berjumlah RM17.77 juta.
“Tunggakan ABT bagi tahun 2024 adalah berjumlah RM274.80 juta,” jelasnya.
Menurutnya, peningkatan ABT Tahun 2024 adalah disebabkan tawaran premium tanah diambil kira dalam pelaporan ABT berdasarkan perbincangan dan persetujuan bersama Jabatan Audit Negara, Jabatan Kewangan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang dan semua lima Pejabat Daerah dan Tanah.
“ABT premium tanah ini adalah meliputi 64 peratus daripada jumlah keseluruhan ABT yang dilaporkan.
“Walau bagaimanapun, pelaporan premium tanah sebagai ABT ini telah disemak semula dan Kerajaan Negeri telah mengeluarkan polisi berkaitan titik pengiktirafan hasil premium tanah dan tawaran premium tanah tidak akan dilaporkan sebagai ABT disebabkan ketidaktentuan (uncertainty) pada nilai dan masa terimaan yang tertakluk kepada unsur rayuan, pengecualian, pembatalan atau pelucutan.
“Selepas semakan semula ini, nilai ABT sebenar bagi tahun 2024 adalah berjumlah RM122.35 juta,” ujarnya sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang merangkap ADUN Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN & SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD