Projek tebatan banjir mesti dilihat sebagai essential service – Exco

Admin

DATUK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap agar projek berimpak tinggi seperti rancangan tebatan banjir (RTB) di negeri ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Jelasnya, projek berskala besar seperti RTB Sungai Pinang bernilai RM150 juta wajar dilaksanakan kerana ia melibatkan kepentingan awam.

 

“Saya berpendapat apabila kita melihat projek-projek asas, iaitu projek untuk manfaat orang awam seperti ini (tebatan banjir) juga harus dilihat sebagai essential service.

 

“Jika tidak, kita akan berdepan masalah seperti ini (banjir kilat).  Memandangkan RTB Sungai Pinang adalah RTB terbesar di Malaysia, maka saya minta Kerajaan Pusat boleh percepatkan, sama seperti tindakan menangani COVID-19.

 

“Apabila banjir berlaku, ia akan jejaskan semua tidak kira kaum, agama dan fahaman politik… sekarang perlu teruskan projek RTB ini,” ujar Jagdeep ketika melawat kerja-kerja pembersihan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat persimpangan Jalan P. Ramlee dan Jalan Perak pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan pakar perunding bagi RTB Sungai Pinang (sebelum pandemik COVID-19) dijangka akan memuktamadkan laporan projek tersebut pada akhir Jun ini.

 

“Sekiranya itu berlaku, kita jangkakan kerja-kerja fizikal melebarkan dan mendalamkan Sungai Pinang akan bermula pada Disember tahun ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Dalam pada itu, Tung Seang menyatakan bahawa MBPP menyediakan peruntukan RM4 juta sebagai langkah jangka masa sederhana bagi menaik taraf jalan di Jalan P. Ramlee.

 

“Untuk jangka masa sederhana, MBPP telah buat satu panggilan tender untuk naik taraf Jalan P. Ramlee dan naik taraf sistem perparitan di sini, yang mana tender telah ditutup untuk penilaian.

 

 

“Sekiranya semua lancar, saya harap ia dapat dilaksanakan selepas pertengahan tahun ini dan projek ini dijangka mengambil masa kira-kira satu tahun untuk disiapkan.

 

 

“Selain itu, tahun ini dan tahun hadapan MBPP juga merancang untuk menaiktaraf beberapa jalan di George Town seperti Jalan Van Praagh, Jalan Pintal Tali, Lebuh Cintra, Lebuh Kimberley dan Jalan Kampung Kolam,” jelas Tung Seang.

 

Dalam jangka masa pendek, katanya lagi, MBPP senantiasa memastikan bahawa semua saliran longkang sentiasa bersih daripada sampah yang boleh mengakibatkan situasi banjir bertambah buruk.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ALVIE CHENG