Projek tebatan banjir Taman Machang Bubuk RM1.95 juta dijangka siap Ogos 2026

Admin
img 0418 ZAIRIL Khir Johari (tiga dari kiri), Lee Khai Loon (kanan sekali) dan Mohamad Nasran Nasehir Khan (kiri sekali) diberi taklimat ringkas oleh Mohd. Syukri Said (dua dari kiri) mengenai projek tebatan banjir Taman Machang Bubuk di sini pada tadi.

MACHANG BUBUK – Kerajaan Negeri akan terus mengambil langkah proaktif dan berterusan bagi menangani isu banjir di Pulau Pinang, kata Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.

Seperti di Taman Machang Bubuk, beliau berkata bahawa projek tebatan banjir bernilai RM1.95 juta dilaksana sejak 21 Februari lepas, akan mengambil masa selama 18 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 20 Ogos 2026.

“Kerja-kerja mengalihkan utiliti di tapak projek tersebut sedang dilaksanakan mengikut jadual, dengan tahap kemajuan kira-kira 10 peratus,” jelasnya ketika ditemui di Dewan MPKK 3 Taman Machang Bubuk di sini pada 2 September 2025.

 

img 0404
ZAIRIL Khir Johari (kiri) bersama-sama Lee Khai Loon dalam sidang media berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Syukri Said; Timbalan Pengarah (Pembangunan I) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Ahmad Kamil Jamaludin; dan Penolong Pengarah Kejuruteraan MBSP, Dr. Ts. Mohamad Nasran Dato’ Nasehir Khan turut sertai sidang sidang tersebut.

Difahamkan, Kerajaan Negeri hari ini menyalurkan peruntukan ‘Caruman Saliran’ kepada beberapa agensi pelaksana seperti JPS Negeri, MBSP, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi bajir mengikut kawasan seliaan masing-masing.

Sejak tahun 2020, sejumlah RM26.08 juta diperuntukkan kepada MBSP khusus bagi melaksanakan projek infrastruktur dan kerja-kerja mitigasi banjir di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa sejumlah RM150,000 peruntukan ‘Caruman Saliran’ turut disalurkan kepada MBSP untuk pelaksanaan kajian serta konsep projek tebatan banjir di Taman Machang Bubuk.

“Berdasarkan kajian yang telah disiapkan pada tahun 2022, pihak perunding telah mencadangkan beberapa langkah penyelesaian teknikal dengan anggaran kos sebanyak RM1.95 juta.

“Susulan itu, Kerajaan Negeri sekali lagi telah menyalurkan peruntukan penuh RM1.95 juta kepada MBSP diikuti dengan pelaksanaan penyediaan reka bentuk terperinci dan dokumen tender serta lantikan kontraktor,” jelasnya yang juga ADUN Tanjung Bunga.

Dengan peruntukan RM1.95 juta dari sumber Wang Caruman Saliran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kontraktor Ye Shen Trading dikehendaki melaksanakan enam komponen projek, antaranya naik taraf parit UD, kotak pembentung, pembinaan ‘slump’ serta naik taraf dan turap jalan yang terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Projek Tebatan Banjir Sungai Permatang Rawa dengan jumlah peruntukan RM15,608,778.60 kini mencapai 71 peratus tahap kemajuan serta dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2026.

“Apabila siap kelak, projek ini dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu penduduk di Kampung Permatang Rawa, Kampung Padang Lalang, Kampung Tanah Liat dan Taman Guru; yang mana sekali gus melimpahkan manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk di kawasan yang terlibat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zairil turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah memohon kepada Kementerian Ekonomi di bawah Roling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) untuk melaksanakan Projek Tebatan Banjir Sungai Kilang Ubi; dengan kos sebanyak RM105 juta.

“Projek ini amat penting kerana kawasan sekitar Sungai Kilang Ubi sering terjejas akibat banjir kilat,” jelasnya lagi sebelum mengadakan lawatan ke tapak projek tebatan bajir yang hampir siap dekat Taman Sejahtera, di sini.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI