GEORGE TOWN – Kerja-kerja pemulihan bangunan Wadda Gurdwara Sahib di Jalan Gurdwara kini mencapai tahap 60 peratus, kata Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke Wadda Gurdwara Sahib pagi tadi.
Menurut Jagdeep, kerja-kerja pemulihan di bangunan warisan dan kebudayaan komuniti Sikh itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara tapak bersejarah, di samping memastikan elemen tradisi dan keaslian dikekalkan.

“Proses pemulihan ini melibatkan pelbagai kerja penting, termasuk pemasangan bumbung sementara bagi melindungi struktur bangunan, kerja-kerja pemecahan jubin moden, pemasangan jaring keselamatan, dan penyokongan lantai heritage untuk memastikan kestabilan struktur.



“(Dan) dengan usaha ini, Wadda Gurdwara Sahib bukan sahaja akan terus menjadi simbol penting bagi komuniti Sikh tetapi juga destinasi warisan yang mampu menarik perhatian pelawat dari dalam dan luar negara,” katanya.
Hadir sama, Presiden Wadda Gurdwara, Datuk Santok Singh; Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan, Datuk Malkit Singh serta pihak kontraktor dan ahli jawatankuasa pemulihan yang terlibat secara langsung dalam memastikan kelancaran projek ini.
Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat turut memuji usaha jawatankuasa pemulihan dalam menjana dana bagi projek ini melalui pelbagai aktiviti kutipan dana.
Dalam sidang media sama, beliau memaklumkan bahawa satu acara utama iaitu Majlis Makan Malam Warisan di Pulau Pinang, sedang dirancang sebagai usaha menambah dana yang diperlukan bagi projek pemulihan berkaitan.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan dan bakal memperlihat Wadda Gurdwara Sahib kembali berfungsi sebagai pusat komuniti yang penting, di samping mengekalkan statusnya sebagai salah satu ikon warisan bersejarah Pulau Pinang.
“Projek ini turut menerima pengiktirafan daripada pakar UNESCO yang melawat tapak tersebut baru-baru ini dan menyatakan kekaguman terhadap usaha pemuliharaan yang dilaksanakan,” jelasnya lagi.
Teks & Gambar: M. DANESWARAN