PSC19, 23 individu disahkan positif melalui RT-PCR

Admin

PENGKALAN KOTA – Seramai 35 individu dikesan positif melalui ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) yang dilakukan menerusi Program Penang Saring COVID-19 (PSC19) sejak 5 Julai lalu.

 

 

 

Program saringan percuma itu sehingga kini telah melibatkan 12 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di daerah Timur Laut; Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.

 

 

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga semalam, seramai 1,695 orang telah melakukan ujian RTK-Ag.

 

 

 

“Semua 35 kes positif (yang dikesan) melalui RTK-Ag telah dibawa untuk disaring menggunakan kaedah saringan RT-PCR (Real Time Polymerase Chain Reaction) untuk memastikan sama ada betul atau tidak (positif virus COVID-19).

 

 

 

“Cuma 23 kes disahkan positif setelah RT-PCR dilakukan.

 

 

 

“Kita di Pulau Pinang berhasrat dapatkan angka kosong, itu yang kita ingin pastikan, kita mahu ini semua berakhir,” ujarnya sejurus mengadakan melawat ke Program PCS19 di Taman Kejiranan Lebuh Macallum pagi ini.

 

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin dan Ketua Polis bagi Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

 

 

 

Ditanya mengenai saringan percuma terhadap warga asing, Jagdeep memaklumkan bahawa mereka juga boleh melakukan saringan melalui program ini bagi mengelakkan jangkitan dalam komuniti.

 

 

 

Mengulas lanjut, Jagdeep menyatakan bahawa Program PCS19 juga adalah selari dengan program vaksinasi iaitu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, PICK yang giat dijalankan kini.

 

 

 

“Saya rasa itu adalah terbaik, kerjasama baik melalui program saringan (peringkat Kerajaan Negeri) dan vaksin (peringkat Persekutuan).

 

 

 

“Di Pulau Pinang kita menjadi negeri kedua menjalankan saringan ini, apabila dapat maklumat ini ia akan lebih memudahkan kerja Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) membawa mereka ke proses vaksinasi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat.

 

 

 

Dalam pada itu, sehingga jam 12 tengah hari, seramai 550 orang sudah disaring di Lebuh Macallum. Program serupa akan diteruskan esok di Bayan Lepas; diikuti 17 Julai 2021 di Padang Tembak, seterusnya di Batu Uban pada 18 Julai 2021.

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD