GEORGE TOWN – Pulau Pinang antara lapan negeri yang dipilih untuk pelaksanaan projek kawalan denggi dengan kaedah pelepasan nyamuk Aedes augypti ber-Wolbachia.
Sehingga bulan Julai 2025, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen memberitahu bahawa Flat Bukit Gedung dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung menjadi satu daripada lima lokaliti di Pulau Pinang untuk pelaksanaan projek pelepasan nyamuk Aedes augypti ber-Wolbachia.
Empat lokaliti lain yang turut terpilih untuk pelaksanaan projek tersebut, menurutnya adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis dan Kuarters Polis Lone Pine di daerah Timur Laut; Taman Inderawasih di daerah Seberang Perai Tengah serta PPR Flat Bagan Jaya di daerah Seberang Perai Utara.

“Projek pelepasan nyamuk Aedes aegypti jantan dan betina yang mengandungi bakteria Wolbachia di lapangan membantu menghalang penyebaran virus demam denggi di dalam komuniti.
“Hal ini kerana apabila nyamuk Aedes aegypti ber-Wolbachia menghisap darah pesakit denggi, virus denggi tidak dapat dipindahkan kepada orang lain kerana bakteria Wolbachia merencatkan perkembangan virus di dalam badan nyamuk,” jelasnya mewakili Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, semasa merasmikan Gotong-Royong Mega Perangai Aedes 1.0 Bersempena Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 di sini pada 2 Ogos 2025.
Di samping itu, Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini di bawah inisiatif State Environment Health Action Plan (SEHAP) komited dalam memperkukuh sistem pemantauan dan mempercepat tindakan susulan bagi memerangi virus demam Denggi, melalui platform ePANTAS.
Selain itu, beliau berkata usaha merosotkan jumlah kes dan kematian akibat demam denggi semasa di Pulau Pinang tidak akan berjaya tanpa penglibatan agresif penduduk lokal menerusi Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI).

Berucap sebelum itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin memberitahu bahawa pada tanggal 15 Jun tiap-tiap tahun, Hari Denggi ASEAN diraikan sebagai komitmen serantau dalam memerangi virus denggi, yang mana ‘Sifar Kematian Denggi, Membina Masa Depan Bersama’ ditetapkan sebagai tema sambutan pada tahun ini.
“Sebagaimana dihasratkan oleh YB Exco Kesihatan (untuk merosotkan jumlah kes dan kematian akibat deman denggi), Malaysia telah menunjukkan penurunan yang signifikan dalam jumlah kes dan kematian akibat demam denggi pada tahun ini (2025).
“Sehingga minggu epid 30/2025, sebanyak 35,348 kes telah dilaporkan berbanding 85,740 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu (2024)… ini, merupakan penurunan hampir 60 peratus.
“Dari segi kematian pula, 24 nyawa telah terkorban akibat komplikasi denggi, satu penurunan ketara berbanding 73 kematian yang direkodkan tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 67 peratus.
“Kejayaan ini bukan datang dari usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata, ia lahir dari kesedaran, pengorbanan dan penyertaan masyarakat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta pihak swasta (menerusi COMBI) bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, di samping memberi kerjasama pada aktiviti KKM,” jelasnya lagi.

Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Dr. Chiew Wye Lee turut sertai majlis tersebut.
Sejak 7.00 pagi hingga 12.30 tengah hari, pertandingan mewarna, permainan interaktif denggi, pameran agensi dan progran saringan kesihatan turut diadakan secara serentak dengan acara gotong-royong di sini.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB