Pulau Pinang akan bentang RUU khusus pulih hal kelestarian sumber air mentah negeri

Admin
a2635e88 5021 49a8 ba49 a9c8be3f03f4 KETUA Menteri (depan, dua dari kiri) dengan diiringi K. Pathmanathan (depan, kiri sekali) turut meluangkan masa melawat gerai pameran kempen penjimatan air domestik kendalian PBAPP, semasa penganjuran Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 di ruang lapang Empangan Air Itam di sini pada 3 Mei 2025.

AIR ITAM – Satu Rang Undang-Undang (RUU) khusus untuk mengurus, merancang dan melindungi sumber air mentah serta alam sekitar negeri ini secara lestari, akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan datang.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebuah lembaga akan ditubuhkan berdasarkan enakmen tersebut bagi melaksanakan tugas-tugas hakiki secara khusus termasuk langkah pendakwaan berkaitan kepentingan isu air mentah negeri, kelak.

b43df407 b672 4dda 8005 0c40225b1543
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan menjelang tengah hari tadi di sini.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi mengumumkan perkara itu dalam sidang media berkaitan sejurus merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di kawasan lapang dekat puncak Empangan Air Itam di sini pada 3 Mei 2025.

“Sekarang, kita ada Badan Kawal Selia Air di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Pulau Pinang)…sudah sampai masanya Pulau Pinang mempunyai sebuah enakmen dan menubuhkan satu lembaga pengurusan air (mentah),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Difahamkan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hanya mempunyai peranan khusus berkaitan operasi mengabstrakkan serta merawat air mentah untuk memenuhi keperluan harian penduduk.

Sebagai syarikat operator air negeri, PBAPP juga bertanggungjawab melaksanakan operasi pengagihan air terawat, penyelenggaraan infrastruktur bekalan air, kerja-kerja meningkatkan kapasiti perbekalan air, pengurusan akaun pelanggan domestik serta komersial dan pemulihan sumber air terawat.

Dengan adanya lembaga pengurusan air mentah negeri berdasarkan enakmen baharu tersebut kelak, Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan sumber air mentah supaya kian lestari buat rakyat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS