PANTAI JEREJAK – Negeri Pulau Pinang telah mencapai pertumbuhan kukuh dalam penggunaan e-pembayaran dengan tahap transaksi secara nirtunai (cashless) sebanyak 97.26 peratus pada tahun 2024.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancanan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata pencapaian tersebut adalah hasil kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak termasuk sektor awam, swasta dan komuniti tempatan.
“Pada tahun 2024, Pulau Pinang dinobatkan sebagai Negeri Nirtunai Pertama di Malaysia setelah mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan juga Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (Paynet) iaitu tahap penggunaan transaksi melebihi 95 peratus secara nirtunai.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan kerana berjaya menerima Anugerah Utama Prestasi Penggunaan Pembayaran Digital Cemerlang pada 15 Januari lalu di Putrajaya.
“Kejayaan hari ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak dan saya amat berharap perkara ini akan diteruskan demi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Cashless 3.0 Tahun 2025 dan Anugerah Nirtunai bagi Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato; Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis bagi MBPP serta MBSP; Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Muhamad Husni Mahmud dan Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pemerkasaan Luar Bandar, Imelda Shubari.
Mooi Lye berkata, baagi mencapai aspirasi menjadi negeri bebas tunai 100 peratus menjelang tahun 2030, satu kempen akan diadakan selama tiga bulan bermula 1 September sehingga 30 November 2025.
“Dengan bertemakan Go Cashless, kempen iniakan menekankan transaksi nirtunai lebih banyak di jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan hanya satu hari sahaja dibenarkan untuk transaksi tunai.
“Kempen selama tiga bulan ini akan melibatkan 23 buah jabatan atau agensi pemungut hasil di negeri ini,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, Mooi Lye turut menyampaikan Anugerah Nirtunai kepada jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berjaya me ncatatkan jumlah transaksi yang memberangsangkan.
Anugerah tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu A (melebihi 30,000 transaksi), B (1,000 hingga 30,000 transaksi) dan C (kurang daripada 1,000 transaksi).
Anugerah Kategori A dimenangi oleh MBPP yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM40,000.
Tempat kedua dimenangi oleh Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) yang menerima hadiah wang tunai RM35,000, manakala tempat ketiga milik MBSP (RM30,000).
Anugerah Kategori B pula menyaksikan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang berjaya merangkul juara dan membawa pulang wang tunai RM 25,000, diikuti oleh Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya di tempat kedua (RM20,000), manakala tempat ketiga milik Bahagian Khidmat Pelanggan, PSUKPP (RM15,000).
Bagi Kategori C pula, Pejabat Tanah dan Daerah Timur Laut di nobatkan sebagai johan sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000, diikuti Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang di tempat kedua (RM7,500) dan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang di tempat ketiga (RM5,500).
Selain itu, empat jabatan/agensi Kerajaan Negeri diberikan Anugerah Harapan ke Arah Nirtunai dan membawa pulang hadian wang tunai RM3,000 iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut; Jabatan Taman Botani Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara.
Sementara itu, Rajendran ketika ketemui media memberitahu bahawa MBPP telah berjaya mencapai 100 peratus tahap transaksi tanpa tunai sejak Mei 2024.

“Pelbagai usaha kita telah jalankan termasuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak dan meletakkan pegawai di kaunter-kaunter MBPP untuk memberi penerangan mengenai cara pembayaran tanpa tunai kepada pelanggan.
“Selain itu, kita juga menyediakan ‘kiosk cash’ untuk membolehkan pelanggan membuat pembayaran dan ini bermakna bayaran dalam bentuk tunai tidak lagi diterima di keunter-kaunter MBPP.
“Semua usaha ini telah membantu MBPP dalam mencapai sasaran 100 peratus trasaksi pembayaran tanpa tunai,” katanya.
Beliau berkata, MBPP juga menggalakkan semua penjaja dan premis perniagaan menggunakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai.
“MBPP juga telah membangunkan aplikasi pembayaran tanpa tunai dikenali sebagai Pearl: One Touch Penang pada tahun 2024 yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk membuat pelbagai bayaran.
“Setakat ini, lebih 31,000 pengguna telah menggukan aplikasi ini dan MBPP sasarkan lebih ramai menggunakan kemudahan ini,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN