Pulau Pinang catat nilai jualan tahunan sektor pertanian RM3.5 bilion pada 2023

Admin
whatsapp image 2025 06 17 at 14.25.50 (1)

PINANG TUNGGAL – Pulau Pinang mencatatkan nilai jualan tahunan bagi sektor pertanian berjumlah RM3.5 bilion pada tahun 2023 membabitkan seramai 16,645 petani di negeri ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin memberitahu bahawa dapatan itu diperoleh daripada pelaksanaan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bermula dari 7 Julai sehingga 31 Disember 2024.

“Pulau Pinang merupakan antara negeri yang menjadi penyumbang kepada sektor pertanian negara dengan seramai 16,645 individu daripada 1.8 juta penduduk negeri ini terlibat dalam sektor pertanian, membabitkan 30,400 orang pekerja.

“Sektor penternakan, tanaman, perikanan dan perkayuan telah menjadi penyumbang utama kepada sektor pertanian di negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pulau Pinang dekat Dewan Besar Institut Pertanian Bumbong Lima di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol.

Mohd. Uzir berkata, sebanyak RM161 bilion nilai jualan keseluruhan bagi sektor pertanian direkodkan bagi seluruh negara pada tahun 2023.

“Perjuangan sektor pertanian begitu besar untuk menghasilkan makanan kepada 34 juta penduduk dan kira-kira 29 juta pelancong di negara ini setiap tahun menyebabkan permintaan terhadap produk pertanian adalah sangat tinggi,” katanya.

whatsapp image 2025 06 17 at 14.25.53 whatsapp image 2025 06 17 at 14.25.52 (1) whatsapp image 2025 06 17 at 14.25.54 whatsapp image 2025 06 17 at 14.25.49

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir menyatakan bahawa Banci Pertanian 2024 merupakan banci kali pertama selepas 19 tahun merangkumi seluruh subsektor pertanian meliputi tanaman, ternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan.

Oleh itu, beliau berharap agar laporan tersebut dapat membantu kerajaan dan sektor swasta untuk menggubal dasar yang lebih jelas bagi menggalakkan pembangunan dan transformasi pertanian negara ini.

“Dapatan daripada banci ini akan menjadi input penting dalam pelbagai penilaian keberhasilan dasar dan agenda negara, termasuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), tahap keterjaminan makanan negara, penggunaan teknologi dan penglibatan belia dalam sektor pertanian.

“Melalui banci ini juga kita dapati bahawa lebih 50 peratus mereka yang terlibat dalam sektor pertanian di seluruh negara adalah yang berumur 60 tahun ke atas.

“Justeru, pihak-pihak bertanggungjawab boleh menggunakan data bancian ini untuk merangka strategi yang tepat, seperti menarik lebih ramai golongan belia menyertai pertanian melalui penggunaan teknologi pertanian lebih moden,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal komited untuk memastikan sektor pertanian turut berkembang maju dan berdaya saing, seterusnya menyumbang kepada keterjaminan makanan serta ekonomi negeri.

“Usaha-usaha berterusan meliputi pemodenan pertanian melalui penerapan teknologi canggih seperti sistem pertanian pintar, di samping mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman.

“Di Pulau Pinang, walaupun jumlah mereka yang terlibat dalam sektor pertanian hanya kira-kira 30,000 tetapi kita berjaya menghasilkan nilai jualan yang agak tinggi iaitu RM3.5 bilion.

“Ini membuktikan bahawa Pulau Pinang lebih produktif, namun kita juga masih perlu tingkatkan lagi usaha agar tidak disaingi oleh negeri-negeri lain pada masa akan datang,” katanya.

Fahmi berkata, dapatan daripada Banci Pertanian amat penting dalam membantu Kerajaan Negeri menentukan dasar yang lebih efisien dalam pembangunan sektor pertanian.

“Agensi Kerajaan Negeri boleh menguna pakai data ini untuk mengemas kini maklumat seperti bantuan, jenis pertanian yang dijalankan serta hasil yang diperoleh oleh petani-petani yang terlibat.

“Ini sekali gus dapat membantu Kerajaan Negeri untuk menentukan dasar yang lebih efisien dan memastikan pelaburan Kerajaan Negeri melalui bajet tahunan mendapat pulangan yang baik,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS