Pulau Pinang catat surplus RM65.3 juta sehingga 31 Mac tahun ini, respons Ketua Menteri

Admin
a58e8423 da5d 4647 8b8e dbc55d7da9a3

GEORGE TOWN – Sehingga 31 Mac tahun ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencatatkan jumlah pendapatan bernilai RM268,463,025.36 dan perbelanjaan sebanyak RM203,189,122.16, dengan RM65,273,903.20 surplus.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan perkara itu dalam Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 di sini pada 16 Mei 2025.

Di samping itu, Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menjelaskan sebab musabab kurangan kewangan berjumlah RM174.09 juta pada akhir tahun lepas iaitu lebih rendah berbanding tahun 2023 (RM358.80 juta).

“Kurangan ini adalah disebabkan hasil diperolehi adalah berjumlah RM810.46 juta berbanding perbelanjaan mengurus berjumlah RM719.55 juta dan pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM265 juta.

“(Pun begitu,) Kerajaan Negeri telah menerima pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM100 juta bagi menampung aliran tunai yang antaranya menyumbang kepada peningkatan Akaun Amanah Disatukan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menjawab soalan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik, Kon Yeow menjelaskan bahawa Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2024 yang belum diaudit lagi menunjukkan kedudukan Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM1,384.74 juta berbanding RM1,466.04 juta pada tahun 2023 dengan merangkumi Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM155.94 juta dan Akaun Amanah Disatukan (RM1,228.89 juta).

Menurutnya lagi, Akaun Hasil Disatukan menurun sebanyak RM174.09 juta berbanding tahun 2023, manakala, Akaun Amanah Disatukan meningkat sebanyak RM92.79 juta berbanding tahun 2023.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR BATRISYA IDRIS
Video : SIEW CHIA EN