BUKIT TENGAH – Selepas hampir lapan tahun melalui proses permohonan dan penelitian teknikal, Pulau Pinang melakar sejarah baharu dalam bidang ukur tanah dan pentadbiran hartanah apabila berjaya mengeluarkan hak milik stratum tiga dimensi (3D) pertama di Malaysia.
Pencapaian perintis itu menerima pengiktirafan rasmi daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) pada majlis makan malam yang berlangsung di Holiday Inn & Suites, di sini, semalam.
Dalam majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil, menyempurnakan penyerahan sijil pengiktirafan rekod serta hak milik stratum kepada Prinsipal Juruukur Menara Sdn. Bhd., Sr. Choong Weng Chiew, yang mewakili pihak firma berjaya mendapatkan hak milik berkenaan bagi struktur binaan bawah tanah sebuah hospital swasta.

Mengulas pencapaian tersebut, Weng Chiew berkata, penyediaan pemetaan hak milik stratum 3D berketepatan tinggi itu menggunakan teknologi ukur terkini, iaitu imbasan laser tiga dimensi (3D laser scanning) yang menghasilkan data awan titik tiga dimensi (3D point cloud).
Jelasnya, teknologi berkenaan membolehkan struktur bawah tanah dipetakan secara terperinci dan tepat, sekali gus menyokong penyediaan pelan serta dokumentasi teknikal bagi pengeluaran hak milik stratum.
“Malaysia sebenarnya telah memperuntukkan aspek pelupusan tanah bawah tanah melalui Bahagian Lima (A) Kanun Tanah Negara menerusi pindaan pada tahun 1990.
“Kejayaan hari ini membuktikan keupayaan kepakaran tempatan dalam menterjemahkan peruntukan undang-undang tersebut kepada pelaksanaan sebenar,” ujarnya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Berkongsi perjalanan projek itu, beliau memaklumkan bahawa proses berkenaan bermula dengan permohonan pertama yang dikemukakan pada 3 Julai 2018 sebelum berjaya direalisasikan menerusi pengeluaran hak milik stratum pertama pada 4 Mac 2026.
Pencapaian Pulau Pinang dalam bidang ukur stratum 3D itu turut mendapat perhatian komuniti ukur tanah antarabangsa apabila Weng Chiew dijemput oleh Persekutuan Juruukur Antarabangsa (International Federation of Surveyors – FIG) untuk membentangkan kertas kerja mengenai kejayaan tersebut di Norway pada tahun 2027.
Menyifatkan pengiktirafan itu sebagai hasil kerjasama pelbagai pihak, majlis berkenaan turut meraikan sumbangan sektor swasta dan agensi kerajaan menerusi penyampaian sijil penghargaan kepada individu serta wakil agensi yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Mendahului senarai penerima ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, yang diwakili Setiausaha Sulitnya, Muhamad Azrai Mohamad Zaini. Beliau turut menerima sijil penghargaan atas kapasiti peribadi.

Turut menerima sijil penghargaan ialah mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Muhammad Yusoff Wazir; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kemajuan Pengurusan dan Perundangan) Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Muhammad Rosli Muhammad Ja’afar; Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin serta Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan II Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), L.Sr. Mohammad Salim Mohammad Asari, yang diwakili Timbalan Pengarah Ukur dan Pemetaan I Pulau Pinang, L.Sr. Wan Faizal Wan Mohamed.
Penerima sijil penghargaan lain ialah Setiausaha Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT), L.Sr. Mohd Riza Halim; Presiden Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), L.Sr. Md Rodi Ismail; Pegawai Daerah Timur Laut, Ismasuhaimi Shariff serta Sandra Yeoh Seok Choo.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Barat Daya, Dato’ Rosli Halim dan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Dato’ Kamarul Haizal Koderat.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI