Pulau Pinang dijangka alami cuaca kering dengan hujan berperingkat sepanjang Ogos

Admin
whatsapp image 2025 08 06 at 10.02.44 a02d8d1a

GEORGE TOWN – Sepanjang bulan Ogos ini, Pulau Pinang dijangka mengalami cuaca agak kering berikutan negara masih berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang bermula 10 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga September 2025.

 

Menurut Pengarah Pejabat Meteorologi Pulau Pinang, Ramlan Ab. Rahman, keadaan cuaca semasa lazimnya dipengaruhi oleh tiupan angin konsisten dari arah barat daya, yang membawa kepada kelembapan udara rendah serta mengurangkan pembentukan awan hujan di kebanyakan kawasan.

 

pengarah cuaca
RAMLAN Ab. Rahman.

 

“Walaupun secara umumnya cuaca adalah panas dan kering, kejadian hujan lebat serta ribut petir berserta angin kencang tetap berpotensi berlaku, khususnya pada waktu awal pagi akibat fenomena garis badai.

 

“Ia merupakan satu barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan selama beberapa jam,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara tengah hari tadi.

 

Tambah beliau, Pulau Pinang juga dijangka menerima taburan hujan bulanan pada paras purata dengan jangkaan antara 150 hingga 280 milimeter, serta purata bilangan hari hujan sebanyak 16 hari.

 

“Dalam tempoh ini juga, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku jika aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

 

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa menggunakan air secara berhemah,” ujarnya.

 

Menurut laporan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada 5 Ogos 2025, kapasiti efektif empangan utama di negeri ini mencatatkan bacaan seperti berikut:

Empangan Mengkuang – 91.2 peratus
Empangan Teluk Bahang – 52.6 peratus
Empangan Air Itam – 51.8 peratus.

 

paras air
STATISTIK terkini paras air empangan utama di Pulau Pinang.

 

Sebarang maklumat cuaca terkini boleh dirujuk melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial jabatan atau menghubungi hotline 1300-22-1638.

 

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD