Pulau Pinang, GTWHI ada calonkan Chingay sebagai warisan tak ketara UNESCO – Exco

Admin
8b1d3b2c b1ac 40ec 9863 2bf4a19eed2c

GEORGE TOWN – Perayaan Warisan George Town yang dianjurkan saban tahun oleh agensi negeri, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) merupakan antara usaha Kerajaan Negeri demi memupuk sektor warisan kebudayaan tak ketara ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pejabatnya dengan kerjasama dengan Jabatan Warisan Negara pada Mac lepas telah mencalonkan Perarakan Chingay di bawah pencalonan bersama Malaysia dan Singapura untuk dimasukkan ke dalam senarai Warisan Budaya Tak Ketara kendalian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Penganjuran program ini menyediakan sebuah platform yang istimewa dan utama di negeri ini, untuk memperkenalkan dan memelihara kesinambungan warisan kebudayaan tidak ketara dalam kalangan komuniti pelbagai kaum di Pulau Pinang,” jelasnya dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 22 Mei 2025.

Susulan kerjasama erat antara Malaysia-Singapura itu, Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberitahu bahawa 22 penggiat Chingey dari negeri ini telah dijemput untuk membuat persembahan bersempena Singapura Chingay Parade 2025 pada 6 hingga 10 Februari lepas.

ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dalam Sesi Soalan Tambahan selepas itu antara lain mencadangkan Pejabat Exco dan GTWHI turut memberi perhatian pada usaha mengangkat warisan tak ketara yang melibatkan komuniti India lokal.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NOOR NABILAH NOORAZIS