Pulau Pinang harap lebih banyak projek tersenarai peroleh perhatian RMKe-13

Admin
25280ab9 3f99 4cf8 bcba 68a389096928

GEORGE TOWN – Pulau Pinang berharap lebih banyak projek dicadangkan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) memperoleh perhatian Perdana Menteri pada sesi pembentangan yang dijadualkan pada 31 Julai ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebagai antara negeri penyumbang terbesar kepada pendapatan negara, Pulau Pinang wajar terus diberikan perhatian khas oleh Kerajaan Persekutuan termasuk mempertimbang pemberian 20 peratus daripada hasil kutipan cukai dikembalikan bagi menyokong pembangunan serta program kebajikan dan sosial negeri ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengorak langkah teguh dalam melaksanakan usaha menaik taraf lebuh raya dan jajaran jalan utama yang menghubungkan kawasan perindustrian, kawasan kediaman dan kawasan luar bandar.

3db6e93b fd43 4097 b099 97b488b006f4 “(Dan) dengan dukungan daripada Kerajaan Persekutuan, keutamaan perlu diberikan kepada projek-projek strategik dalam menangani keperluan rakyat, antaranya membabitkan penaiktarafan Jalan Persekutuan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar kepada jalan berkembar empat lorong yang akan menyelesaikan isu ‘missing link’ sekali gus menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

9748ba59 8f8d 4352 aeaa c019ff0a2ded

“Dalam pada itu, kita juga menunggu pelaksanaan projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru – Sungai Dua yang dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2025 dekat Dewan Sri Pinang di sini sebentar tadi.

Menyentuh mengenai pembekalan air, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri kini dalam fasa memuktamadkan Projek Air Perak – Pulau Pinang yang berada pada fasa akhir perancangan.

“Rundingan rasmi pasukan perunding Kerajaan Negeri bersama-sama negeri Perak dijangka bermula dalam tempoh terdekat (bagi memuktamadkan Projek Air Perak – Pulau Pinang).

“Selain itu, turut menunjukkan perkembangan positif adalah projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), yang mana pembinaannya sedang berjalan mengikut jadual dan terminal baharu dijangka beroperasi menjelang 2027.

“(Dan) dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Lembah Silikon Pertanian’ yang memfokuskan kepada industri pertanian pintar, projek Sedusun Tech Valley melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kini berada pada peringkat kerja-kerja pembersihan di tapak projek, dan ia dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027,” jelasnya.

Bagi pelan jangka masa panjang dalam mengekalkan percambahan berterusan, Kon Yeow memberitahu bahawa Penang International Financial Centre (PIFC) bakal direalisasikan melibatkan pelbagai kemudahan kewangan serta infrastruktur sokongan, seperti pengurusan dana, pusat konvensyen antarabangsa, perkhidmatan perbankan mewah, zon perdagangan bebas fintech dan hab logistik.

“Badan pemikir, Penang Institute telah diberikan peranan untuk memulakan proses Penyataan Minat (EOI) pada Mac lalu, dan hasilnya telah dibentangkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) baru-baru ini.

“Ia kini diteruskan dengan libat urus bersama Kerajaan Persekutuan, termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, yang bermatlamat menarik aliran modal baharu bagi mengukuhkan sektor semikonduktor di Koridor Utara, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS),” ulasnya lanjut.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyatakan tekad untuk terus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.

“(Ini terbukti) apabila Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada tahun 2024, berbanding 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan positif ini menyumbang pada nilai keseluruhan KDNK negeri sebanyak RM121.5 bilion, iaitu peningkatan RM5.5 bilion berbanding tahun 2023 yang mana sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM58.4 bilion atau 48.1 peratus, manakala sektor pembuatan mencatatkan RM56.1 bilion (46.2 peratus), menunjukkan pemulihan kukuh selepas sedikit penguncupan pada tahun sebelumnya.

“Pulau Pinang juga mencatat rekod cemerlang dalam aspek guna tenaga, dengan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 72.0 peratus, bersamaan 926,200 orang dan kadar pengangguran menurun kepada hanya 2.0 peratus, iaitu antara yang terendah di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib ketika menyampaikan ucapan menzahirkan pengharapan agar segala kejayaan dan pengukuhan ekonomi yang dikecapi kini tidak dijadikan alasan untuk berasa selesa atau leka.

“Sebaliknya, ia harus menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih gigih, agar kemajuan dikecapi hari ini dapat dipertahankan, diperkukuh dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Sesungguhnya, dalam meniti cabaran dunia masa kini, hanya pentadbiran berteraskan integriti, tadbir urus cekap, budaya inovasi progresif serta menjunjung nilai manusiawi sahaja yang mampu menjamin kelangsungan kejayaan negeri ini,” katanya.

9d88566e 5227 47af ae8f 45b93e16a281

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Abdul Latiff dan Pengerusi Eksekutif MMAG Holdings Berhad, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador mendahului senarai 1,530 penerima bagi tahun ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Pengerusi Majlis-majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang dan isteri, Datin Seri Teoh Hooi Tuang; barisan Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long antara kenamaan yang hadir pada majlis berkaitan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : ALISSALA THIAN