GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata secara realitik, pentadbirannya berharap satu atau dua daripada lima projek yang disenarai pendek dalam permohonan kepada Kerajaan Persekutuan, dirangkumkan dalam Belanjawan 2026.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1); jalan berkembar empat lorong di laluan Persekutuan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar; Projek Air Muka Sauk Titi Kerawang Ke Empangan Teluk Bahang; Kompleks Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT); dan projek pembinaan bangunan bertingkat di Hospital Kepala Batas; projek menaik taraf Kompleks Sukan MBSP Bertam; Sekolah Kebangsaan (SK) Juru; projek pembinaan jalan bawah untuk menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma; Pelabuhan Tuna Pulau Pinang antara yang disenarai pendek dalam permohonan kepada Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Kebanyakan adalah projek infrastruktur, harap kita dapat kelulusan.
“Baru-baru ini, diminta senarai pendek lima projek keutamaan, jadi dari lima projek yang dimohon, diharap ada peluang satu atau dua projek,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada sidang media di sini pada 6 Oktober 2025.
Kon Yeow berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan Kerajaan Negeri hari ini sempena pembentangan Belanjawan 2026 Persekutuan yang dijadualkan pada 10 Oktober nanti.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING