GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak satu bulan gaji kepada penjawat awam negeri sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan sumbangan mereka dalam memastikan pentadbiran serta pembangunan negeri terus mencapai kecemerlangan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keutuhan kedudukan fiskal dan kemajuan pembangunan Pulau Pinang tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan jentera pentadbiran yang cekap, berintegriti serta berprestasi tinggi.
Menurutnya, komitmen penjawat awam negeri sepanjang tahun ini turut membuahkan pengiktirafan membanggakan pada peringkat nasional, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan tadbir urus dan usaha berterusan memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam.
“Antaranya ialah Pengiktirafan Pencapaian Bilangan Projek Siap Tertinggi (Negeri) menerusi pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Tahun 2025.
“Selain itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menerima Pengiktirafan Organisasi Unggul menerusi penilaian Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE), dengan skor keseluruhan sebanyak 97.84 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2027 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.
Sebagai menghargai sumbangan seluruh anggota perkhidmatan awam negeri, Kon Yeow turut mengumumkan pemberian imbuhan secara one-off sebanyak RM300 kepada beberapa kumpulan penerima yang terlibat dalam sektor pendidikan agama dan pendidikan persendirian.
Antara penerima ialah penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), serta kakitangan SRAR dan SMAR.
Imbuhan berkenaan turut meliputi guru dan kakitangan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), guru tahfiz, guru pondok, guru Tadika Islam (TADIS), selain guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina di Pulau Pinang.
Menurut Kon Yeow, pemberian BKK dan imbuhan secara one-off itu melibatkan seramai 7,292 penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM16.207 juta.
Kedua-dua bentuk bantuan tersebut dijadualkan dibayar pada Disember 2026, sekali gus menjadi suntikan penghargaan kepada penerima atas sumbangan mereka dalam menyokong pentadbiran negeri dan pembangunan masyarakat.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH & SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING