Pulau Pinang hasrat bentang laporan kajian impak perubahan iklim demi tangani pemanasan global

Admin

DATUK KERAMAT – Gabungan peningkatan suhu dan banjir bakal menjadi cabaran baru bagi kawasan bandar di negeri ini, daripada status ‘tidak berisiko’ kepada ‘terancam’ menjelang tahun 2050.

Menginsafi pendedahan Rangkaian Penyelidikan Perubahan Iklim Perkotaan (UCCRN) pada tahun 2018, Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri menerusi agensi Penang Green Council (PGC) akan memperkenalkan laporan Kajian Impak Perubahan Iklim Pulau Pinang.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agenda Hijau Pulau Pinang 2030 yang dilangsungkan secara maya dari Dewan Angsana, Perpustakaan Digital Pulau Pinang 2 di sini pada 27 Februari 2021.

“Pulau Pinang misalnya, berdepan dengan dua ancaman utama iaitu tekanan haba serta banjir yang berpunca daripada hujan terlalu lebat.

“(Justeru), kita (Kerajaan Negeri) memperkenalkan laporan ‘Climate Change Impact on Penang (menerusi) PGC, yang menggariskan beberapa penilaian dan analisis tentang kesan pemanasan global terhadap Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Di samping itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa PGC mengambil masa selama tiga tahun untuk melaksanakan proses formulasi Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA).

“Projek (PGA) ini bertujuan untuk merangka strategi bagi membentuk masyarakat berdaya tahan di Pulau Pinang agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan cabaran persekitaran masa depan menjelang tahun 2030.

“Selain itu, (PGA) adalah komponen penting dalam pelaksanaan Visi Penang2030 iaitu ‘Negara Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyifatkan pandemik COVID-19 yang masih membelenggu negara ini begitu menguji daya tahan semua pihak serta mengakibatkan teras ekonomi kian mencabar.

“Namun, saya yakin rakyat di Pulau Pinang tidak akan ‘menyerah’ walaupun dilanda cabaran yang getir ini,” ulasnya lanjut.

Sebelum itu, Pengurus Besar PGC, Josephine Tan Mei Ling merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana begitu memberi sokongan dalam projek PGA.

Seusai ucapan Kon Yeow, disusuli dengan forum maya dengan menampilkan beberapa panelis seperti Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga Naib Pengerusi PGC dan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari.

Turut serta, tiga ahli jawatankuasa kerja PGA iaitu Sofia Castelo (Think City’ Lead for the Environmental Resilience Community of Practice); Rexy Prakash Chacko (jurutera elektronik serta penulis buku) dan Dr. Ng Shin Wei (pengurus projek PGA 2030).

Forum PGA 2030 pada petang ini antara lain membincangkan cadangan penggunaan tenaga diperbaharui (RE), kecekapan tenaga (EE) dalam mendepani iklim perubahan dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Selain itu, mereka turut membincangkan mengenai formulasi unit pengurusan bencana serta persediaan-persediaan peringkat negeri dalam sektor pelancongan hijau pada masa depan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN