AIR ITAM – Tahun ini, Perbadanan Berkalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyasarkan penjimatan air domestik per kapita sebanyak 250 liter/kapita/sehari (LKH) berbanding 261 LKH yang dicapai pada 2024.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sasaran yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. K. Pathmanathan tersebut adalah realistik untuk dicapai sekiranya semua pihak bersama-sama mengambil langkah menggunakan air secara hemah di premis masing-masing setiap hari.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di kawasan lapang dekat puncak Empangan Air Itam dekat sini pada 3 Mei 2025.
“Pernah suatu masa purata penggunaan air domestik di negeri Pulau Pinang begitu tinggi sebanyak 308 LKH, namun bersyukurlah dengan pelbagai usaha yang dilakukan dalam beberapa tahun belakangan ini, ia dapat dikurangkan kepada 261 LKH.
“(Angka penjimatan air domestik per kapita sebanyak) 261 LKH ini adalah suatu penurunan yang agak baik dan kini kita (Kerajaan Negeri melalui PBAPP) sasarkan 250 LKH.
“Kalau kita ikuti nasihat-nasihat, saya percaya angka sasaran (250 LKH) itu dapat dicapai,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada majlis berkaitan.
Sebelum itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri melalui PBAPP dan Kerajaan Persekutuan telah merancang pelaburan bernilai RM4.4 bilion bagi pelaksanaan 13 projek bekalan air tambahan di negeri ini termasuk Projek Air Perak – Pulau Pinang.
Menurut beliau, tujuan pelaburan pembangunan dan modal tersebut antara lain demi memastikan pembekalan air bersih di Pulau Pinang terus terjamin, bermula pada tahun ini sehingga 2030.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada 11 syarikat operator air dari negeri lain seperti Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Sarawak (Sibu), Terengganu, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang turut bersama-sama PBAPP menyertai majlis sambutan berkenaan.
Baginya, kehadiran semua wakil firma operasi air negeri lain berkenaan adalah signifikan kerana telah berjaya menggerakkan aset seperti lori tangki air bagi membantu Kerajaan Negeri dan PBAPP melaksanakan proses pemulihan air negeri, susulan pelan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama hampir tiga hari sejak 25 April 2025 (10 malam) lepas.

Selain Pathmanathan, turut berucap, Presiden Water Watch Penang, Prof. Dr. Chan Ngai Weng.
Selain wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), hadir sama ialah Pegarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Ooi Soon Lee; Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Izani Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn. Bhd., Ts. Abdul Karim Endut; Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Dato’ Saiful Zaini Mohd. Bokhari; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd. Saleh Jusman; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Dato’ Ir. Hj. Mohd Yazid bin Ahmad; Ketua Perancangan & Kerja-Kerja Kapital Air Selangor, Ir. Ainul Azhar Mohd. Jemoner; ahli lembaga Air Perak, Wan Zunaidah Wan Ibrahim; Pengurus Wilayah Selatan bagi Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd., Ts. Tunku Syaiful Reezal Tunku Sulieman; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Perlis, Nik Nazreen Yusrie Nik Jusoh; dan Pengurus Besar Lembaga Air Sibu (LAS) Sarawak, Abdul Malik Abdullah @ Itin Langit.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS