Pulau Pinang lancar RT ‘Greenfield’ Pertama Malaysia, menjelang 2050 sumbang RM1.1 trilion KDNK negeri

Admin
c18ffc28 ae70 4ac0 a0e8 16423b5bcc19 (Dari kiri) ROZITA Hamit, Zairi Mat Ali, Ketua Menteri, Jason H’ng Mooi Lye dan Farizan Darus bersama-sama menyempurna acara gimik perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di sini pada 7 April 2026.

BAYAN LEPAS – Pembangunan Pulau Silikon (Silicon Island) dijangka bakal menyumbang sekurang-kurangnya RM1.1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri ini menjelang tahun 2050, sekali gus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi berteknologi tinggi di rantau ini.

31380818 080a 46ff 9426 0c54323ea195
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di sini pada 7 April 2026.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek berimpak tinggi tersebut bukan sahaja menjadi pemangkin ekonomi negara dan negeri, malah dijangka mewujudkan sekitar 220,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor strategik termasuk pembuatan serta ekonomi digital.

“Matlamat kita (Pihak Berkuasa Negeri) adalah jelas, iaitu untuk membangunkan Pulau Silikon melalui perancangan yang berpaksikan amalan reka bentuk bandar terbaik dengan penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Pendekatan ini diyakini mampu menarik minat pelaburan global dan serantau, seterusnya mengangkat Pulau Pinang sebagai destinasi utama ekonomi masa hadapan,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi semasa merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di sini pada 7 April 2026.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa RTPSI 2050 mencatatkan sejarah sebagai Rancangan Tempatan pertama dalam negara yang dibangunkan sepenuhnya bagi kawasan greenfield melalui tebus guna tanah dengan integrasi teknologi pangkalan data GeoBIM.

Menurut beliau, melalui keluasan 2,300 ekar tanah baharu, sebanyak 553 ekar akan diperuntukkan bagi kawasan perindustrian berkonsepkan ‘Managed Industrial Park’ yang dilengkapi kemudahan ‘plug and play’.

“Dari aspek kelestarian, kita mensasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus melalui penggunaan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui di Green Tech Park serta pelaksanaan nisbah modal shift (pisah ragam) 70:30 bagi pengangkutan awam.

“Selain itu, pembangunan ini turut merangkumi projek ikonik The Heart of the Island (HOTI) serta penyediaan tapak bagi Pusat Pentadbiran Negeri yang moden dan efisien,” tambahnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyeru semua pihak berkepentingan, sektor swasta dan komuniti setempat untuk tampil memberikan maklum balas konstruktif sepanjang tempoh publisiti laporan tersebut bagi memastikan pembangunan yang dirancang bersifat inklusif.

Berucap sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Pulau Pinang serta agensi negeri, Penang Infrastructure Corporation (PIC) atas komitmen berterusan dan tersusun demi merealisasikan projek RTPSI 2050.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Pengarah PLANMalaysia negeri Pulau Pinang, Dato’ TPr. Gs. Rozita Hamit; dan Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Dato’ Seri Farizan Darus.

Buletin Mutiara difahamkan, visi RTPSI 2050 adalah selari dengan hala tuju Penang2030 terutamanya di bawah Tema D yang menumpukan kepada pelaburan dalam persekitaran terbina yang mampan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI