Pulau Pinang No.1, hasil pelancongan perubatan naik 5.55%

Admin

GEORGE TOWN – Hasil sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang pada tahun 2015 meningkat 5.55 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pencapaian itu meletakkan Pulau Pinang di kedudukan tangga nombor satu di Malaysia.

“Ia (peningkatan hasil sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang) berbeza daripada kedudukan dua pertiga (2/3) daripada keseluruhan (hasil) pelancongan perubatan (negeri) 15 tahun dahulu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 baru-baru ini.

Guan Eng memberitahu, Pulau Pinang memainkan peranan utama dengan menguasai 42.75 peratus daripada hasil pulangan sebanyak RM390,694,625 daripada keseluruhan RM914,000,000 pada 2015, berbanding RM368,973,381 daripada keseluruhan RM777,000,000 pada 2014 (47.49 peratus).

Selain itu, beliau sekali lagi menyatakan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Bandaraya Perubatan’.

“Cadangan mendirikan hospital swasta yang paling besar di Malaysia sebanyak 1,000 buah katil dengan pelaburan RM2 bilion sangat sesuai dan sejajar dengan usaha dan cita-cita melayakkan Pulau Pinang sebagai ‘Bandaraya Perubatan’,” ujarnya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang mendedahkan bahawa seramai 6,684,034 pelancong dicatatkan masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pada tahun 2016, berbanding 6,258,756 orang pada tahun sebelumnya.

Beliau dalam sesi penggulungan memberitahu, angka itu menunjukkan bilangan pelancong meningkat sebanyak 425,278 orang atau 6.79 peratus.

“Bagi tiga bulan pertama tahun 2017 pula, kedatangan pelancong dicatatkan adalah seramai 855,062 orang berbanding tempoh sama 2016, 789,916 orang.

“Peningkatan dicatatkan dalam tiga bulan pertama ini adalah seramai 65,147 pelancong bersamaan 8.2 peratus, dan kita berharap ianya akan semakin bertambah sehingga hujung tahun,” katanya yang juga ADUN Batu Lancang.

Tambah Heng Kiang, pelancong Indonesia ke Pulau Pinang bagi tahun 2016 merupakan bilangan teramai iaitu sejumlah 264,546 orang, diikuti Singapura (154,063), China (59,661), Jepun (24,065), Australia (20,232), Amerika Syarikat (17,099), United Kingdom (16,956), Thailand (15,471), Taiwan (14,225) dan India (7,401).

Tambah beliau, faktor-faktor peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini antara lain adalah disebabkan kemasukan pelaburan-pelaburan pihak swasta serta pengiktirafanpengiktirafan daripada agensi-agensi antarabangsa mengenai
Pulau Pinang.

Justeru, Heng Kiang menyatakan bahawa Pulau Pinang yang dalam mencari mod pelancongan baharu ketika ini turut memberi tumpuan kepada sektor pelancongan perubatan (medical tourism).

“Pada tahun lalu sahaja, transaksi pelancongan perubatan mencatat RM458,262,629 juta bersamaan 347,100 orang, manakala pada 2015, transaksi dicatat RM 390,694,625 juta bersamaan 302,430 orang.

“Peningkatan dicatatkan adalah sebanyak RM 67,568,004,” ujarnya.