BAYAN LEPAS – Pulau Pinang selangkah lagi mara ke depan apabila berjaya menghimpunkan 12 industri reka bentuk litar bersepadu (IC) dengan enam perusahaan berkaitan Modal Teroka (VC) dan Ekuiti Swasta (PE), tiga syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) dan lebih 30 syarikat multinasional (MNC) dalam satu acara untuk meneroka peluang pendanaan, padanan perniagaan serta kolaborasi strategik.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap usaha yang dilaksanakan oleh agensi negeri, Invest Penang sejak bulan Disember tahun lepas di bawah inisiatif Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+) akan terus menyokong Stretagi Semikonduktor Negara dengan mengalihkan rantaian pengeluaran bernilai lebih tinggi di samping kekal berdaya saing serta relevan pada peringkat global.
“Ini satu lagi inisiatif untuk menambah nilai kepada apa yang kita mula usahakan sejak bulan Disember tahun lalu, iaitu PSD@5KM+ yang mana acara ini fokus kepada solusi padanan perniagaan antara syarikat pemula niaga dengan IC Design negeri Pulau Pinang, Modal Teroka, MNC dan sebagainya supaya mereka boleh melabur (serta membantu proses) pengembangan syarikat-syarikat ini dari peringkat negeri, Malaysia ke peringkat global,” jelasnya kepada pemberita seusai menyempurnakan acara peluncuran perdana PSD@5KM+ di sini pada 27 Ogos 2025.


Sebelum ini, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa sektor semikonduktor negeri mesti bergerak ke peringkat lebih baik iaitu dalam reka bentuk IC dan inovasi serta menyumbang sebanyak 60 peratus pada rantai nilai semikonduktor di Pulau Pinang.
“Reka bentuk IC adalah ‘otak’ kepada teknologi moden, yang menjana kuasa segala-galanya daripada telefon pintar dan kereta hinggalah kepada AI serta peranti perubatan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Beliau memberitahu bahawa dengan lebih daripada 45 syarikat reka bentuk IC yang sudah beroperasi di negeri ini, sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagi hab reka bentuk IC di Malaysia.
“Dengan bilangan ini yang terus meningkat, negeri ini mempunyai asas, bakat, dan ekosistem yang diperlukan untuk memimpin dalam ruang ini,” katanya sebagai mengulas ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Penang, Dato’ Loo Lee Lian sebelum itu.
Dalam perkembangan berkaitan Kon Yeow menyatakan bahawa beliau baru-baru ini merasmikan pejabat baharu AMD dan kemudahan makmal kejuruteraan canggih di GBS By The Sea, Bayan Lepas yang mana 209,000 kaki persegi dan direka untuk menampung lebih 1,200 pekerja.
Selain Lee Lian, turut serta, ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : SIEW CHIA EN