Pulau Pinang perkukuh pendidikan KAFA, elaun guru dan cuti dinaikkan

img 0145 MOHAMAD Abdul Hamid (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang kategori Tilawah Al-Quran, semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah Ihtifal KAFA Peringkat Negeri di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) pada 14 Ogos 2025.

AIR ITAM – Kerajaan Negeri akan terus membela nasib serta kebajikan para guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Pulau Pinang dengan menaikkan elaun bulanan guru biasa daripada RM1,300 kepada RM1,500, serta guru besar (daripada RM1,350 kepada RM1,600).

img 0142
MOHAMAD Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata peningkatan elaun bulanan guru biasa dan guru besar tersebut adalah melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM4.2 juta setahun.

Bukan setakat itu sahaja, beliau yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat memberitahu bahawa sejumlah RM176,000 turut disediakan bagi menjaga kebajikan guru KAFA muslimah yang cuti bersalin dengan kadar RM1,100 sebulan untuk 80 orang setahun.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap pendidikan KAFA di Pulau Pinang (dengan) membasmi buta Al-Quran sehingga melahirkan generasi celik Al-Quran dan Jawi.

“Sehubungan itu, waktu pembelajaran KAFA telah dipertingkat daripada tiga hari kepada lima hari seminggu bagi memberi tumpuan khusus kepada pengajaran Al-Quran dan tulisan Jawi,” jelasnya sambil mengharapkan visi bersama itu dijayakan oleh 1,630 orang guru KAFA negeri.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup dan penyampaian hadiah Ihtifal KAFA Peringkat Negeri di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) pada 14 Ogos 2025.

img 0138
BUKAN sahaja pelajar dan guru KAFA, malah waris dan ibu bapa turut sertai program tahunan anjuran JHEAIPP di sini tadi.

Di samping itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa menerusi Agenda Pembangunan Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), Kerajaan Negeri hari ini merancang prasarana pendidikan Islam yang lebih holistik.

Menurutnya lagi, di bawah APAI2030 juga usaha pengantarabangsaan pendidikan dilakukan melalui KITAB, pembinaan ‘Smart City Campus’, penubuhan Pusat Inkubator Ulul Albab dan penubuhan Institusi Sekolah Islam Antarabangsa.

Berucap sebelum itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Dato’ Marzuki Hassan memberitahu bahawa seramai 150 orang pelajar KAFA yang mengambil bahagian dalam program tahunan iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan Al-Quran, bercerita kisah Al-Quran, tulisan Jawi, khat dan nasyid diraikan dalam majlis tersebut.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta yang mana johan bagi setiap acara pada hari ini akan mewakili Negeri Pulau Pinang ke Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya pada bulan Oktober nanti.

“Selain itu, penyertaan dalam ihtifal ini juga membolehkan pelajar memperoleh markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), yang menjadi sebahagian daripada penilaian keseluruhan prestasi pelajar,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada sekalian ibu bapa dan para waris kepada pelajar KAFA yang menyertai program pada petang ini.

Turut serta, Timbalan Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibul Fadilah Ustaz Mohamad Zamri Mohamed Shapik

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB