Pulau Pinang pertahan keperluan RUU URA, tolak kerisauan negeri pembangkang

0d6b4fc0 15f9 48c5 b1da 23d9a631fdac KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan sejurus menyempurna acara peluncuran Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+) di sini pada 27 Ogos 2025.

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow seakan memberi isyarat bahawa pentadbirannya akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberi respons itu ketika diminta mengulas mengenai empat negeri ditadbir pembangkang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang menolak RUU URA atas asas khuatir bahawa ia akan memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri.

“Negeri-negeri yang dinamakan itu, saya rasa tidak hadapi masalah ini langsung, sebaliknya, lihatlah kenyataan Menteri Besar Selangor (yang mana) mempunyai banyak projek sedemikian yang perlu dibangunkan semula.

“Kalau tidak dibangunkan semula, 50 tahun menjadi 100 tahun, bayangkan keadaan flat-flat sedemikian.

“Adakah anda mahu duduk dalam flat 400 kaki persegi, untuk 50 tahun lagi,” soalnya dalam sidang media berkaitan seusai menyempurna acara peluncuran Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+) di sini pada 27 Ogos 2025.

Tanpa RUU URA pun, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini telah berusaha mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan projek pembaharuan semula skim perumahan awam di Mahsuri Lorong Mayang Pasir, Bandar Bayan Baru.

“Sebelum ini pun, pelancaran (projek) di Mahsuri (Lorong) Mayang (Pasir) adalah satu contoh pembaharuan semula tanpa undang-undang pun.

“Tanpa undang-undang sebenarnya, boleh dilakukan, misalnya 1Razak Mansion, di Jalan Sungai Besi Kuala Lumpur, seluruh bangunan empat tingkat rumah pangsa, 300 atau 400 kaki persegi diroboh dan dibina semula, tanpa akta (URA).

“Tetapi, dengan akta (URA), ia boleh mengatasi rintangan sebab ambang persetujuan tidak perlu 100 peratus, sebaliknya, 80 peratus sudah mencukupi untuk membangunkan semula projek-projek berkaitan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : SIEW CHIA EN