SEBERANG JAYA – Pada tahun 2019 telah ada ‘irsyad al-fatwa’ melarang umat Islam yang mencari rezeki di Pulau Pinang membayar zakat di negeri lain, ketika di negeri ini masih ada asnaf fakir dan miskin.
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata bahawa ‘irsyad al-fatwa’ itu kini dipertegaskan sekali lagi demi memenuhi keperluan asnaf di negeri ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Jabatan bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dekat sini pada 11 Ogos 2025.
“Kita (Pulau Pinang) ketinggalan dari segi kutipan zakat (berbanding negeri-negeri jiran yang mana) pada tahun lepas (2024) sebanyak RM172.9 juta berbanding negeri jiran RM300 juta (hasil zakat korporat dan zakat fitrah) yang merupakan negeri jelapang padi.
“Pulau Pinang ini adalah negeri industri (yang mana) tumbuh bagai dendangan (selepas hujan) serta (mencipta) 200,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.
“Justeru, kita perkasakan kembali ‘irsyad al-fatwa’ tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri mempertegas semula (berhubung) haram membayar zakat di negeri lain dalam keadaan mencari rezeki di negeri ini serta masih ada asnaf fakir dan miskin,” jelasnya sambil mengangkat semula keputusan jawatankuasa itu dalam Mesyuarat Exco pada bulan lepas.
Beliau memberitahu bahawa MAINPP menerusi anak syarikatnya, Zakat MAINPP menyasarkan kutipan zakat bagi tahun 2025 berjumlah RM200 juta yang memerlukan lebih pihak mencari rezeki di negeri Pulau Pinang supaya membayar zakat korporat apabila telah cukup haul.
Di samping itu, beliau berkata dengan hasil zakat tahunan semasa ditingkatkan membolehkan MAINPP menetapkan serta melaksanakan agihan zakat mengikut had kifayah yang baharu.
“Kita tak boleh meningkatkan had kifayah (sedia ada berjumlah) RM1,700 dalam keadaan hasil kutipan zakat kita hanya RM172.9 juta (bagi tahun 2024).
“Berapa ramai dalam asnaf fakir dan miskin tidak dapat agihan zakat kerana tidak memenuhi had kifayah.
“Kalau ditingkatkan had kifayah, tidak cukup berbanding hasil kutipan (zakat), maka (patutkah) ada umat Islam yang wajib membayar zakat di tempat mereka mencari makan iaitu Pulau Pinang, memindahkan bayaran zakat ke negeri lain,” soal beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Buletin Mutiara difahamkan had kifayah bermaksud kadar atau jumlah asas keperluan minimum yang ditetapkan bagi seseorang atau sesebuah keluarga untuk menampung kehidupan seharian.
Dalam konteks zakat, had kifayah digunakan untuk menentukan sama ada seseorang layak menerima zakat atau tidak, yang mana merangkumi keperluan asas seperti makanan dan minuman, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, perubatan dan pengangkutan asas.
Dalam perkembangan lain, Mohamad menzahirkan penghargaan kepada sekalian 340 anggota penjawat awam JHEAIPP termasuk kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang gigih melaksanakan tugas masing-masing di negeri ini, serta terus dedikasi menjaga imej jabatan kerajaan.

Berucap sebelum itu, Pengarah JHEAIPP, Dato’ Marzuki Hassan merakamkan penghargaan kepada Mohamad kerana membiayai sepenuhnya kos pembekalan baju korporat jabatan, serta berharap inisiatif itu meningkatkan lagi imej profesionalisme JHEAIPP.
Serentak pada majlis sama, Mohamad dengan diiringi Marzuki menyampaikan Anugerah Bahagian Terbaik kepada Bahagian Penguatkuasan, Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Tengah (Anugerah Pejabat Agama Daerah Terbaik) dan Masjid Abdul Fahim Kepala Batas, Seberang Perai Utara (Anugerah Pengurusan Masjid Daerah Terbaik).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT