Pulau Pinang prihatin

Admin
H.E. Mr. Tetsuro Kai (dua dari kanan) menyatakan sesuatu kepada Lim Guan Eng (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Law Choo Kiang (dua dari kiri), Law Heng Kiang (kiri sekali) dan Ng Wei Aik (kanan sekali) bersempena lawatan beliau ke pejabat Konsul-Jeneral Jepun di sini baru-baru ini.
H.E. Mr. Tetsuro Kai (dua dari kanan) menyatakan sesuatu kepada Lim Guan Eng (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Law Choo Kiang (dua dari kiri), Law Heng Kiang (kiri sekali) dan Ng Wei Aik (kanan sekali) bersempena lawatan beliau ke pejabat Konsul-Jeneral Jepun di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Malaysia telah digemparkan dengan berita gempa bumi sehingga berlaku Tsunami yang melanda Jepun baru-baru ini. Bencana tersebut merupakan salah satu bencana terbesar dalam sejarah tamadun manusia sekalipun tidak mengorbankan sebegitu banyak nyawa seperti Tsunami 2004 di Acheh, Indonesia.

Sehubungan dengan tragedi itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersama Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Danny Law Heng Kiang dan Exco Pertanian dan Industri Asas tani, Pembangunan Luar Bandardan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang dan Setiausaha Politik beliau, Ng Wei Aik telah melawat Konsul-Jeneral Jepun, H.E. Mr. Tetsuro Kai di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Ketika perjumpaan itu, Ketua Menteri menyampaikan ucapan takziah dan simpati terhadap mangsa-mangsa gempa bumi dan Tsunami yang melanda negara matahari terbit itu.

Kami juga ingin menyampaikan segala doa kami terhadap mereka. Sekiranya kami boleh hulurkan apa-apa pertolongan, kami sanggup tolong. Kami dapat merasa keperitan yang dialami oleh mereka dan ingin berkongsi kesakitan mereka. Ini bukan setakat dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetapi juga dari semua warga Pulau Pinang”, kata Ketua Menteri.

Katanya lagi, beliau berdoa, berharap dan percaya rakyat Jepun akan pulih kembali dengan segera berdasarkan kemahiran dan daya tahan serta kesediaan mereka menangani masalah ini.

Dalam pada itu, Tetsuro amat menghargai kedatangan Ketua Menteri ke pejabat beliau dan berterima kasih kepada warga Pulau Pinang atas keprihatinan mereka.

Sebagai satu langkah untuk menolong warga Jepun yang tinggal di Pulau Pinang, pejabat Konsul-Jeneral telah memberi pautan laman web kepada mereka sekiranya mereka ingin menyemak keadaan di Jepun.