Wajah baru Bukit Bendera bakal menjadi tumpuan

Admin

BUKIT BENDERA – Koc baru Bukit Bendera buatan Switzerland bakal beroperasi tidak lama lagi selepas ia ditutup semenjak Februari tahun lalu untuk proses penambahbaikan perkhidmatan keret api yang telah berusia 87 tahun.

Penyerahan perkhidmatan koc baru tersebut dilakukan sendiri oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dalam sebuah Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Keretapi Bukit Bendera kepada Perbadanan Bukit Bendera (PHC) yang turut disaksikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

TUN Abdul Rahman Abbas (empat dari kiri) bersama isteri memotong reben bersama Ng Yen Yen (tengah) dan Lim Guan Eng (berbaju hijau) pada  Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Keretapi Bukit Bendera kepada PHC di sini baru-baru ini.
TUN Abdul Rahman Abbas (empat dari kiri) bersama isteri memotong reben bersama Ng Yen Yen (tengah) dan Lim Guan Eng (berbaju hijau) pada Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Keretapi Bukit Bendera kepada PHC di sini baru-baru ini.

Melalui penambahbaikan yang dilakukan terhadap sistem pengangkutan ini, koc baru berhawa dingin ini mampu membawa 100 penumpang pada setiap waktu. Ia akan membuat perjalanan tanpa henti dari kaki Bukit Bendera ke stesennya di puncak bukit peranginan itu kurang dari lapan minit, berbeza dengan sistem lama yang memerlukan penumpang menukar koc pada pertengahan perjalanan serta mengambil masa 25 minit.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri akan mengadakan sebuah majlis khas sempena pembukaannya kepada umum pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bukit Bendera merupakan ikon pelancongan negeri yang amat berharga kerana menyimpan pelbagai khazanah hidupan flora dan fauna di samping menikmati permandangan indah dari puncaknya”, kata beliau.

Guan Eng bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana mengadakan upacara penyerahan ini kepada pihak PHC iaitu sebuah badan di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Rata-rata pengunjung yang hadir hari ini tidak sabar untuk menyusuri koc baru Bukit Bendera yang telah menelan belanja sebanyak RM73 juta apabila ia dibuka kepada umum kelak.

Seorang penjawat awam, Shakirah Md. Din, 40, sangat berbangga kerana koc seumpama ini hanya terdapat di Bukit Bendera, Pulau Pinang, negeri tumpah darah dirinya.

SHAKIRAH Md. Din.
SHAKIRAH Md. Din.

Sebelum ini saya sering menasihatkan kawan-kawan yang ingin berkunjung ke Bukit Bendera untuk tebalkan tahap kesabaran kerana terpaksa beratur panjang dan berhimpit dalam keadaan gerabak yang panas untuk naik ke puncak. Kini, pembaharuan Bukit Bendera diharapkan dapat membawa pengunjungnya dengan lebih efisyen dan selesa ke puncak”, katanya kepada Buletin Mutiara.

T. Devarajan, 56, seorang peniaga di Bukit Bendera menyatakan kegembiraan beliau kerana destinasi pelancongan ini akan meningkatkan jumlah pelancong ke Pulau Pinang.

Hanya di Bukit Bendera terdapat koc mendaki yang pantas dan ini dianggap ‘tuah’ kepada seluruh rakyat Pulau Pinang”.

T. Devarajan.
T. Devarajan.

Jaslinna Mohd. Yusoff, 26, Eksekutif syarikat pengangkutan mengharapkan harga tambang bukit bendera tidak akan membebankan pengunjung kerana kebanyakan yang hadir adalah berkeluarga.

Mungkin pihak PHC dapat menyediakan pakej harga bagi mereka yang datang berkeluarga di samping terus membangunkan kemudahan dan mengindahkan kawasan puncak Bukit Bendera”, jelasnya.

Phoon Kok Cheong, 53, seorang ahli perniagaan menyifatkan ini sebagai batu loncatan meningkatkan pelaburan dalam negeri.

PHOON Kok Cheong.
PHOON Kok Cheong.

Pelancongan adalah sumber pendapatan yang amat berpotensi tambahan pula Pulau Pinang merupakan kawasan warisan UNESCO yang pastinya menjadi tumpuan dunia”, kata beliau yang juga berasal dari Air Itam.

Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih bermutu dan lebih mesra pelancong selepas projek itu diserahkan kepada Perbadanan Bukit Bendera yang diwakili Pengarahnya, Datuk Lee Kah Choon.