Pulau Pinang salur RM2.42 juta bantu sekolah pendidikan Tamil, Punjabi

Admin
19b8803b 62cc 4485 ac39 948bdb2cfb36 KETUA Menteri (depan, lima dari kiri) diiringi S. Sundarajoo (depan, empat dari kiri) sambil memegang replika cek sumbangan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Pusat Pendidikan Punjabi Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2025, merakamkan gambar kenangan-kenangan dengan para guru di sini pada 25 Julai 2025.

GEORGE TOWN – Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri meluluskan pemberian peruntukan berjumlah RM2,420,000 kepada 28 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), termasuk 14 tadika yang berada di bawah seliaan sekolah-sekolah tersebut serta tiga Pusat Pendidikan Punjabi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, dengan diiringi Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo menyampaikan sumbangan bantuan tersebut dalam Majlis Penyampaian Replika Cek kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Pusat Pendidikan Punjabi Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2025 di sini pada 25 Julai 2025.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM268,100 telah diperuntukkan kepada 14 tadika di bawah seliaan sekolah Tamil, manakala RM1,782,000 disalurkan kepada SJKT melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Selain itu, sejumlah RM120,000 telah diberikan kepada tiga Pusat Pendidikan Punjabi, masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM40,000.

“Peruntukan ini bukan sahaja berfungsi untuk memperbaiki kemudahan fizikal sekolah, malah juga memperkukuh sokongan terhadap keberlangsungan pendidikan vernakular di negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Berucap sebelum itu, Sundarajoo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang memberitahu bahawa baki peruntukan tahunan 2025 yang berjumlah RM249,900 akan dijadikan sebagai Dana Khas SJKT.

“(Selain itu,) kita turut menghulurkan bantuan tambahan bernilai RM20,000 secara sekali beri (one-off) kepada Telegu Association Malaysia bagi tujuan pengendalian kelas bahasa Telegu di pusat pendidikan mereka,” ujarnya yang juga ADUN Perai.

ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng turut sertai majlis pengampaian bantuan kewangan kepada wakil sekolah-sekolah berkenaan.

Kon Yeow yang ditemui kemudian memberitahu bahawa buat masa ini, pentadbirannya berhasrat untuk mengekalkan pemberian peruntukan tahunan kira-kira RM2 juta seperti sekarang, dengan memperluas skop permohonan kepada projek mewujudkan fasiliti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ‘maker labs’ atau makmal komuputeri yang mana mengikut keperluan sekolah-sekolah berkenaan.

“Selepas program bantuan kewangan ini dilaksanakan selama 16 tahun dengan peruntukan lebih RM30 juta, sudah ada permohonan untuk menaik taraf kemudahan ICT dan sebagainya daripada wakil sekolah yang memohon peruntukan ini,” ulasnya lanjut.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memberitahu bahawa tempoh pelantikan ahli lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HDB) bakal berakhir pada 27 Julai ini, yang mana beliau sendiri masih belum menerima senarai nama cadangan baharu bagi badan tersebut untuk membuat ulasan lanjut kepada pemberita.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR