GEORGE TOWN – Pulau Pinang bakal menjadi hos bersama bagi penganjuran temasya sukan berprestij, Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027 yang turut melibatkan negeri Sarawak, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai penganjur sukan snuker dan billard dengan peruntukan awal sebanyak RM15 juta.
Selain snuker dan billard, terdapat cadangan tambahan yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk Pulau Pinang menganjurkan sukan sepak takraw, judo, ping pong dan tinju.
“(Dan) dengan sukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa segala persiapan untuk penganjuran tersebut sedang dilaksanakan dengan penuh teliti dan terancang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 19 November 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu menzahirkan keyakinan bahawa menjelang penganjuran Sukan SEA 2027, Pulau Pinang akan tampil bersedia sepenuhnya, sekali gus menjadikan temasya tersebut salah satu kejayaan terbesar dan meninggalkan legasi membanggakan untuk generasi akan datang.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI