Pulau Pinang sedia jadi negeri perintis tanam padi ratun

Admin
cca74d37 b3e4 499f 9a31 cfdf1681fe62 KETUA Menteri (depan, tiga dari kanan) turut meluangkan masa dengan melawat gerai pameran sempena penganjuran Karnival Industri Makanan dan Asas Tani Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama di sini pada 19 Oktober 2025.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bersedia menjadi negeri perintis bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk pelaksanaan projek teknologi penanaman padi ratun (ratoon rice).

79ddd07a a170 44b7 a505 870c5393ad51
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu perkara itu seusai menyampaikan ucapan perasmian Karnival Industri Makanan dan Asas Tani Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama di sini pada 19 Oktober 2025.

“Di Wilayah Fujian (dekat Republik Rakyat China) didapati mereka berjaya menanam padi jenis ratun yang mana sekali tanam boleh tuai dua kali berbanding (jenis varieti) yang kita sedia ada iaitu tanam sekali dan tuai sekali).

“Justeru, kita di Pulau Pinang menawarkan untuk menjadi negeri perintis terhadap pelaksanaan teknologi pertanian baharu ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

5accca5d 8aa2 47f8 ae44 b5eda81e49b6
FAHMI Zainol

Bercakap pada sidang media sama, Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri, Fahmi Zainol menyatakan bahawa tuaian kali kedua bagi penanaman kali pertama padi jenis ratun mengambil masa selama 70 hari sahaja.

Jika projek perintis tersebut dilaksanakan di negeri ini, beliau yang juga ADUN Pantai Jerejak memberitahu bahawa proses tuaian padi boleh dilakukan empat kali dalam setahun.

Sebelum itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini menyambut baik usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta KPKM atas penganjuran Karnival Industri Makanan dan Asas Tani 2025 dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Lazimnya, Pulau Pinang yang dikenali sebagai Lembah Silikon Timur, kini turut melangkah ke hadapan dalam pembangunan bioteknologi pertanian dan pertanian pintar (smart farming).

“Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan juga akan terus bekerjasama erat dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan, memperluas tanah pertanian baharu serta mempertingkatkan produktiviti melalui pembangunan infrastruktur agro, pusat pengumpulan hasil (collection hubs) dan rangkaian logistik moden.

“(Sehubungan itu,) karnival ini menjadi platform penting bagi memperkasa sektor agromakanan negeri,” ujarnya.

6574814e 51c3 492d b89e ecceceecba1a
AMINUDDIN Zulkipli

Berucap pada majlis sama, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli memberitahu bahawa penganjuran karnival pada hari ini merupakan kali kedua diadakan selepas edisi di negeri Sabah, dan dalam tahun ini juga akan dianjurkan dua kali lagi karnival sama di Sarawak serta Selangor.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa bekalan makanan yang berada di bawah seliaan FAMA adalah mencukupi bagi menghadapi seberang kemungkinan susulan berlakunya Monsun Timur Laut ketika ini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. P. Anthony; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad; dan Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri turut sertai majlis perasmian karnival tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS