GEORGE TOWN – Kedudukan Pulau Pinang sebagai ‘Silicon Valley of the East’ terus kukuh apabila negeri ini mencatat sumbangan terbesar dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) negara, dengan 58 peratus daripada keseluruhan eksport E&E Malaysia datangnya dari negeri tersebut.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, gelaran tersebut bukan retorik, sebaliknya berakar daripada pelaburan global dalam industri semikonduktor sejak 1970-an.
“Transformasi pesat Batu Kawan daripada kawasan pinggir bandar kepada hab perindustrian moden serta perancangan pembangunan ke kawasan utara seperti Bertam membuktikan hala tuju jelas pentadbiran negeri.
“Malaysia telah menguasai 13 peratus pasaran global dalam sektor pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip semikonduktor (OSAT) dan (Pulau Pinang) adalah penyumbang terbesar dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia,” katanya dalam sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 20 November 2025.
Mengulas lanjut, Jagdeep menegaskan bahawa pencapaian tersebut bukan satu kebetulan, sebaliknya hasil perancangan strategik Kerajaan Negeri yang konsisten serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi sejak berdekad lama.
“Komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi akan diteruskan bagi memastikan Pulau Pinang kekal kompetitif.
“Dengan sokongan pelaburan berkualiti, pembangunan bakat tempatan dan inisiatif yang terancang, negeri ini berada pada landasan stabil untuk terus memimpin sektor semikonduktor pada masa hadapan,” jelasnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS