Pulau Pinang terus memperkasa akses perkhidmatan kesihatan awam, naik taraf klinik desa – Exco

img 9967 DANIEL Gooi Zi Sen dalam sidang media pada 27 Februari 2024 mengumumkan Klinik Desa Padang Menora yang dibina pada 1962, berusia kira-kira 62 tahun dan daif akan diruntuh serta dibina semula demi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan awam khusus dekat kawasan luar bandar di sini.

PERMATANG BERANGAN – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memperkasa infrastruktur kesihatan awam dengan pelaksanaan pelbagai projek pembinaan semula, pembaikan dan penaiktarafan fasiliti klinik daif di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian susulan tinjauan lapangan yang dibuat Buletin Mutiara semalam berhubung pengoperasian semula Klinik Desa Padang Menora di tapak asal dekat daerah Seberang Perai Utara (SPU) sejak 20 Januari 2025.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang memberitahu bahawa pada tahun lepas juga turut dilaksanakan projek runtuh dan bina semula Klinik Desa Permatang Tok Mahat dekat daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Secara keseluruhan, projek 2024 melibatkan satu klinik pergigian di daerah Timur Laut; klinik desa di SPU; dua klinik di SPS (iaitu) melibatkan Klinik Kesihatan (KK) dan klinik desa: serta lima klinik di SPT (iaitu) melibatkan dua KK dan tiga klinik desa.

“Kami (Kerajaan Negeri khususnya JKNPP) amat menghargai kerjasama rapat antara KKM dan Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan di Pulau Pinang.

“Usaha ini bukan sahaja memperbaiki keadaan fizikal fasiliti, malah menyumbang kepada kesejahteraan jangka panjang masyarakat setempat,” jelasnya dalam satu kenyataan bertulis pada 6 Ogos 2025.

Bagi tahun 2025 pula, Zi Sen memberitahu bahawa pelaksanaan projek berkaitan diteruskan dengan kerja-kerja roboh dan bina semula Klinik Desa Batu Ferringhi.

Pada tahun ini juga, beliau memberitahu bahawa beberapa lagi kerja pembaikan dan penaiktarafan lain akan dilaksanakan mengikut jadual, antaranya dua klinik kesihatan di Timur Laut; satu klinik kesihatan di Barat Daya; tiga projek di SPU (iaitu) satu klinik kesihatan dan dua klinik desa; dua projek di SPS (iaitu satu klinik kesihatan dan satu klinik desa; dan empat projek di SPT (tiga klinik kesihatan dan satu klinik desa).

“Saya amat menghargai segala usaha berterusan yang dilakukan oleh KKM dan JKNPP dalam memastikan perkhidmatan kesihatan awam terus ditambah baik dari semasa ke semasa, termasuklah penaiktarafan fasiliti kesihatan yang telah lama beroperasi dalam keadaan serba kekurangan.

“Kerajaan Negeri akan terus berjuang supaya kawasan-kawasan luar bandar tidak terpinggir dalam pembangunan kesihatan,” katanya lagi.

Selain itu, Zi Sen turut memberi respons berhubung isu kekurangan petugas kesihatan bertauliah jika ada di Klinik Desa Padang Menora sendiri, susulan diketengahkan oleh seorang responden dalaman tinjauan lapangan yang dibuat oleh Buletin Mutiara semalam.

“Klinik Desa Padang Menora berfungsi sebagai fasiliti sokongan yang menyediakan perkhidmatan asas kesihatan, terutamanya penjagaan ibu dan anak; ia tidak beroperasi sepenuhnya seperti klinik kesihatan induk yang menawarkan perkhidmatan lebih komprehensif.

“Dari segi perjawatan, klinik desa ini diperuntukkan dua jururawat, namun, memandangkan peningkatan kehadiran pesakit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tiga jururawat telah dimobilisasi dari Klinik Kesihatan Tasek Gelugor sejak tahun 2018 bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada komuniti setempat.

“Permohonan untuk penambahan perjawatan tetap telah dikemukakan secara berterusan setiap tahun kepada KKM, namun masih belum menerima kelulusan,” respons beliau.

Terdahulu, pada 27 Februari 2024, Zi Sen mengumumkan projek runtuh dan bina semula Klinik Desa Padang Menora, dengan melibatkan peruntukan KKM berjumlah RM800,000.

Beliau memberitahu pemberita bahawa Klinik Desa Padang Menora dibina pada tahun 1962, dan dikenal pasti sebagai daif.

Daripada RM150 juta peruntukan fiskal berwajib yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, KKM menyalurkan sejumlah RM4.5 juta untuk projek pembangunan berkaitan yang melibatkan 11 klinik dan fasiliti daif termasuk Klinik Desa Padang Menora.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB