GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meningkatkan kadar rebat cukai tanah bagi tahun 2026 kepada 50 peratus berbanding 32.5 peratus yang diumumkan sebelum ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata keputusan itu adalah langkah tambahan bagi meringankan beban kewangan pemilik tanah di samping memastikan peralihan kepada kadar baharu cukai tanah dapat dilaksanakan secara berperingkat serta lebih terkawal.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menjelaskan bahawa kadar baharu cukai tanah ini akan kekal untuk tempoh minimum 10 tahun sebagaimana diperuntukan dalam Kanun Tanah Negara (Akta 827).
“Pemberian rebat ini adalah tertakluk kepada kadar minimum cukai tanah yang ditetapkan.
“Sekiranya amaun cukai tanah selepas rebat diberikan adalah lebih rendah daripada amaun cukai tanah sedia ada yang telah dibayar pada tahun sebelumnya, maka amaun cukai tanah sedia ada akan diguna pakai.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan keseimbangan antara kepentingan pemilik tanah dan keperluan hasil negeri,” jelasnya kepada pemberita di Komtar pada 23 Disember 2025.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin; dan beberapa Pegawai Daerah dan Tanah lain turut sertai sidang media ringkas tersebut.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa keputusan meningkatkan kadar rebat cukai tanah bagi tahun 2026 kepada 50 peratus diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 10 Disember 2025.
Manakala dalam MMK Negeri pada 17 Disember lepas pula, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bersetuju bahawa permohonan rayuan mengurangkan cukai tanah, tunggakan cukai tanah serta tunggakan dewan lewat boleh dipertimbangkan melalui mekanisme rayuan di Pejabat Tanah bagi kes-kes tertentu.
Antara contoh kes yang boleh dipertimbangkan termasuk tanah yang ditanam semula dengan getah, kelapa sawit, kelapa atau pokok-pokok buah-buahan di bawah mana-mana skim yang tempohnya telah berakhir dalam tempoh enam tahun atau kurang.
Kes lain yang turut boleh dipertimbangkan adalah tanah yang digunakan bagi tujuan awam; serta tanah yang pemiliknya menghadapi kesukaran seperti kemiskinan, orang kurang upaya (OKU) atau kehilangan pendapatan akibat bencana dan keadaan lain yang munasabah.
Kon Yeow memberitahu bahawa pertimbangan rayuan turut merangkumi pemilik tanah ‘First Grade’ yang terkesan akibat perubahan kadar berdasarkan kegunaan semasa serta pemilik tanah yang terlibat dalam proses pengkelasan tanah dari Desa kepada Bandar.
“Semua permohonan dan keputusan rayuan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran denda ke atas tunggakan cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2026, melibatkan tunggakan denda berjumlah RM25 juta, sebagaimana diumumkan sebelum ini.
“Inisiatif tersebut adalah bertujuan menggalakkan pemilik tanah serta pemilik petak untuk membayar cukai tanah dan cukai petak termasuk tunggakan yang terkumpul, sekiranya ada,” jelasnya.
Tambah beliau, bil cukai tanah akan diposkan kepada semua pemilik tanah pada pertengahan bulan Januari tahun depan, berikutan urusan cetakan kadar cukai baharu hanya bermula pada awal Januari 2026.
“Semua pemilik tanah boleh membuat semakan dan bayaran bil cukai secara dalam talian bermula pada 2 Januari 2026,” jelasnya sambil memberitahu bahawa pada pemilik tanah boleh juga hadir ke pejabat tanah secara fizikal untuk membuat semakan dan bayaran bil cukai berwajib.
Terdahulu, pada 19 September lepas, Kerajaan Negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan pengkelasan tanah desa ke bandar bagi seluruh negeri Pulau Pinang, yang mana pelaksanaan dasar itu adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Semakan tersebut telahpun diwartakan melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 11 September 2025 dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Difahamkan, pelaksanaan semakan kadar cukai tanah tersebut melibatkan hampir 370,000 hakmilik tama di seluruh negeri Pulau Pinang, merangkumi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kediaman, perniagaan, perindustrian, pertanian dan kategori-kategori khas lain.
Jumlah hakmilik tanah yang terlibat dengan Pindaan Cukai Tanah adalah seramai 378,329 hakmilik, dengan jumlah hakmilik yang terlibat dengan pengkelasan tanah Desa ke Bandar berjumlah 221,134.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : SIEW CHIA EN