Pulau Pinang tuan rumah acara kesedaran kanser komuniti terbesar, Relay For Life Malaysia Mei ini

Admin
whatsapp image 2025 05 09 at 9.53.36 am

GEORGE TOWN – Pulau Pinang diberi penghormatan sebagai tuan rumah pertama bagi penganjuran acara kesedaran kanser komuniti terbesar, Relay For Life Malaysia pada tahun ini.

Selain Pulau Pinang, pogram yang dianjurkan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) turut  merentasi enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Melaka.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, Relay For Life Malaysia bukan sekadar sebuah acara tetapi merupakan manifestasi solidariti nasional dalam perjuangan melawan kanser serta memberi sokongan kepada pesakit serta penjaga mereka.

whatsapp image 2025 05 09 at 9.53.34 am
A. Rajendran.

Menurutnya lagi, acara tersebut juga menjadi simbol perpaduan dan semangat kesatuan dalam menghadapi cabaran berkaitan penyakit kanser.

“Kempen akan bermula pada 16 Mei ini dengan penganjuran acara Luminaria Penang yang akan berlangsung dekat Sunshine Central Mall dari pukul 6 petang hingga 10 malam.

“Acara ini akan melibatkan nyalaan lilin dan tanglung sebagai penghormatan kepada mereka yang meninggal dunia akibat kanser, menyokong mereka yang sedang berjuang serta meraikan mereka yang telah sembuh.

“Dengan nyalaan lilin ini, kita mahu menyampaikan mesej dan memberi harapan kepada setiap rakyat Malaysia yang turut terlibat dalam perjuangan ini.

“Kami amat berbangga menyokong misi NCSM dan mengajak semua komuniti di negeri ini untuk turut bersama-sama,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MBPP, TPr. Gs. Mohd. Bashir Sulaiman; Pengarah Urusan NCSM, Prof. Madya Dr. M. Murallitharan dan Timbalan Pengarah Perubatan NCSM, Dr. S. Vignesvari.

Rajendran berkata, kemuncak penganjuran Relay For Life Malaysia (Pulau Pinang) adalah menerusi acara larian ria pada 25 Mei ini dekat Taman Bandaraya (Youth Park).

“Selain itu, acara ini akan menghimpunkan masyarakat melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi seperti perarakan penghormatan, persembahan komuniti, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran pendidikan, permainan keluarga, cabutan bertuah, dan inisiatif kesihatan,” jelasnya.

Sementara itu, Murallitharan berkata penganjuran Relay For Life  Malaysia pada tahun ini bakal melibatkan lebih banyak negeri berbanding tahun sebelumnya untuk memperluaskan sokongan kepada lebih ramai pesakit dan keluarga mereka.

Katanya, negeri-negeri yang dipilih adalah berdasarkan kepada kadar insiden kanser yang tinggi seperti yang dilaporkan dalam Malaysia National Cancer Registry Report 2012–2016 serta kekuatan sokongan komuniti setempat.

“Acara ini juga menyokong usaha NCSM dan MBPP dalam membina sistem sokongan holistik bagi pesakit dan penjaga termasuk penubuhan Home of Hope iaitu tempat perlindungan khas untuk pesakit kanser dan penjaga daripada golongan kurang berkemampuan.

“Penyertaan adalah percuma bagi pejuang kanser, dan kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menunjukkan sokongan sama ada melalui penyertaan atau perkongsian sumber.

“Semua hasil kutipan daripada program Relay For Life Malaysia akan disalurkan kepada program kesedaran kanser, sokongan pesakit dan penjaga serta inisiatif kesihatan awam seperti pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran boleh layari laman web rasmi di www.relayforlifemalaysia.com.

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : M. DANESWARAN