Pulau Pinang tuan rumah HAWANA 2026, hargai peranan strategik media

Admin
9921f8c1 63c7 4bf1 94b6 3ff651e83326

BAGAN DALAM – Pulau Pinang berbesar hati dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, sekali gus mengiktiraf peranan penting pengamal media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri dan negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan penyampaian maklumat yang telus, tepat dan inklusif kepada rakyat sejajar dengan aspirasi Visi Penang2030.

3a7ab9fc ee6f 4903 b2b9 b4027b101dae
KETUA Menteri.

“Kerajaan Negeri amat berbesar hati menjadi tuan rumah bagi meraikan para pengamal media dari seluruh negara dan rantau ASEAN sempena HAWANA 2026.

“Majlis makan malam ini ialah lambang keakraban, penghargaan dan pengukuhan hubungan harmoni yang telah lama terjalin antara kerajaan negeri dengan komuniti media,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sempena HAWANA 2026 dekat sini pada 19 Jun 2026.

Majlis makan malam penghargaan sempena HAWANA 2026 itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.

1d0a4909 6c7c 4f41 8303 ab932f7dba80 132ce53e d951 4a7d 83aa 49e2684f3646 d7a7fed7 dc7a 455f acba 9292abf730ae
Mengulas perkembangan semasa industri media, Kon Yeow menyatakan bahawa kemajuan teknologi, ledakan media sosial dan kemunculan kecerdasan buatan (AI) menuntut kewartawanan profesional terus memainkan peranan lebih signifikan dalam memastikan kesahihan maklumat.

“Hari ini, dunia komunikasi sedang melalui transformasi yang amat pantas, ditambah pula ledakan media sosial, kemajuan digital dan kemunculan kecerdasan buatan (AI) menuntut kita untuk lebih berwaspada.

“Dalam era maklumat bergerak sepantas kilat, peranan wartawan profesional menjadi semakin kritikal.

“Oleh itu, anda semua ialah benteng utama negara dalam mengekang penularan berita palsu, membanteras manipulasi fakta dan memelihara integriti maklumat,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyifatkan media sebagai antara rakan strategik terbaik Pulau Pinang yang telah mendokumentasikan pelbagai detik penting dalam sejarah pembangunan negeri.

“Warga media ialah saksi dan pencatat setia evolusi negeri ini iaitu daripada era perindustrian 1970-an, pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sehinggalah kejayaan hari ini sebagai hab ekonomi dan teknologi utama negara.

“Dalam terus menjayakan agenda besar ini, pengamal media bukan lagi sekadar pelapor, tetapi sebahagian daripada ekosistem pembangunan itu sendiri.

“Justeru, semoga HAWANA 2026 terus menjadi platform kukuh untuk menyatukan komuniti media, memperkasa kerjasama serantau serta mengangkat martabat kewartawanan yang beretika,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN

Video : ALISSALA THIAN