GEORGE TOWN – Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri-Persekutuan (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) mengemukakan lima syor bagi memulihkan semangat federalisme selain memastikan keadilan untuk semua negeri.
Pengerusinya, Gooi Hsiao-Leung memberitahu bahawa dengan syor-syor tersebut membolehkan Pulau Pinang merancakkan agenda pembangunan dan perkhidmatan awam berkaitan.
“Pemusatan berlebihan telah menjejaskan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam Pulau Pinang kerana hasil negeri adalah kecil berbanding sumbangan ekonominya.
“Walaupun Pulau Pinang merupakan penyumbang utama hasil cukai persekutuan, negeri ini menerima balik setiap tahun dalam pemindahan Persekutuan sebahagian kecil daripada apa yang dijana,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah dalam sidang media dekat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Teh Lai Heng (ADUN Komtar); Tan Hooi Pen (ADUN Seri Delima); Muhammad Fauzi Yusoff (Ketua Pembangkang merangkap ADUN Sungai Dua) dan Izhar Shah Datuk Arif Shah (ADUN Seberang Jaya).
Mengulas lanjut, Hsiao-Leung turut menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan mengutip lebih daripada 90 peratus daripada jumlah hasil cukai negara, manakala negeri secara kolektif menerima hanya sekitar 2 peratus daripada dana tersebut.
Lima syor yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Pilihan dalam dalam laporan pertama berkenaan aalah seperti berikut:
i) Perjanjian fiskal yang lebih adil – bahagian cukai yang lebih besar yang dikutip di Pulau Pinang harus dikembalikan kepada negeri itu, di samping pemindahan penyamaan berasaskan formula ke negeri yang lebih miskin.
Ii) Penurunan kuasa undang-undang dan pentadbiran – meminda undang-undang dan dasar untuk menurunkan kuasa dalam sektor-sektor utama seperti pengangkutan, kerja awam, perumahan, kebajikan sosial supaya Pulau Pinang dapat mengurus pembangunan dengan lebih berkesan, dengan kerjasama agensi persekutuan.
iii) Kuasa peminjaman dan hasil negeri dipertingkatkan – semak dan ringankan had peminjaman yang terhad dan benarkan negeri-negeri atau kerajaan tempatan menjana dana dengan kawalan yang sewajarnya.
iv) Pembaharuan institusi – menubuhkan Suruhanjaya Perhubungan Persekutuan-Negeri untuk merundingkan kuasa, kewangan dan penyelesaian pertikaian secara telus, dan mengaktifkan semula mekanisme seperti Jawatankuasa Pilihan Perhubungan Persekutuan-Negeri di Parlimen.
v) Memperkukuh tadbir urus tempatan – mengembalikan kerajaan tempatan yang dipilih dan memberi kuasa kepada kerajaan tempatan untuk membuat keputusan bertanggungjawab kepada penduduk.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING