BATU MAUNG – Kerja-kerja tebus guna tanah di Pulau Silikon kini berjalan mengikut perancangan, dengan keluasan penambakan telah melepasi 200 ekar, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus.
Beliau menegaskan bahawa pencapaian itu amat penting dalam merencana masa depan Pulau Pinang melalui pembangunan pulau baharu tersebut.
“Projek ini direka bentuk sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang Pulau Pinang dengan menggabungkan infrastruktur bertaraf dunia, amalan pembangunan mampan serta kemudahan berorientasikan komuniti.
“Ia bakal membuka peluang baharu untuk pelaburan, inovasi dan pekerjaan, selain memastikan komuniti setempat menikmati manfaat daripada kemudahan moden yang disediakan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika Lawatan ke Pulau Silikon Sempena Pencapaian 200 Ekar Tebus Guna Tanah.
Yang Dipertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah berkenan untuk turut serta dalam lawatan tersebut pada 20 Ogos 2025.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Pegawai Daerah Barat Daya, Dato’ Rosli Halim; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Cheong Chee Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Silicon Island Development Sdn. Bhd. (SIDSB), Datuk Szeto Wai Loong; Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan SIDSB, Azmi Mohamad serta Penasihat SRS Consortium Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Ooi Eng Hock.
Semasa lawatan, para tetamu diberi taklimat mengenai kemudahan masa depan termasuk jejambat marin sepanjang 380 meter; Pan Island Link 2A (PIL2A); Medan Selera Matang; kemudahan komuniti serta pusat latihan baharu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Farizan berkata jejambat marin itu, yang dijangka dibuka pada Januari 2029, mempunyai empat lorong di setiap arah dan akan menjadi komponen utama PIL2A.
“Ia akan menghubungkan pantai selatan Pulau Pinang ke Pulau Silikon serta meningkatkan akses ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
“Selain itu, Medan Selera Matang yang berkeluasan 0.8 hektar bakal menempatkan sebuah dewan baharu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan, gerai makanan, restoran dan bangsal nelayan.
“Bagi menyokong keperluan awal bekalan air di Pulau Silikon, sebuah tangki sedutan dan rumah pam akan dibina berhampiran medan selera berkenaan, dengan pembinaan dijadual bermula Oktober ini dan siap menjelang akhir tahun 2027,” jelasnya.
Dalam pada itu, berhubung perkembangan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), Farizan memaklumkan sejumlah RM11.7 juta bayaran ex-gratia telah disalurkan kepada 791 nelayan yang layak, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kebajikan nelayan.
“Selain bantuan tunai, kerajaan juga melaksanakan skim bantuan bot dan enjin.
“Sehingga kini, 118 daripada 295 nelayan aktif yang memiliki bot telah menerima bot dan enjin baharu, dengan jumlah perbelanjaan hampir RM10 juta.
“Inisiatif ini sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyediakan jaminan kewangan serta peralatan moden kepada nelayan tempatan agar mereka dapat meneruskan mata pencarian dengan lebih mampan dan berkesan,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD