GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memberi tumpuan terhadap pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi bagi tahun 2026 merangkumi projek berkepentingan strategik termasuk pembangunan Pulau Silikon.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pembangunan Pulau Silikon atau Silicon Island dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang pada masa depan.
“Tumpuan Kerajan Negeri pada tahun 2026 adalah memastikan projek-projek strategik yang memberi impak besar kepada rakyat dan ekonomi negeri dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan,” ujarnya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan di Dewan Undangan Negeri di sini pada 14 November 2025.
Menurut beliau, projek tambakan seluas 2,300 ekar itu, menunjukkan kemajuan memberangsangkan dengan kerja-kerja tambakan yang dimulakan pada September 2023 telah mencapai 250 ekar setakat Oktober 2025.
“Pembangunan ini dilaksanakan secara berfasa hingga tahun 2030 (yang mana) Fasa 1 melibatkan pembangunan 1,260 ekar dan diikuti Fasa 2 seluas 1,030 ekar.
“Bagi Fasa 1, beberapa tapak kritikal dijangka siap antara akhir tahun 2025 hingga suku pertama tahun 2026 iaitu tapak depoh LRT, tapak loji Indah Water Konsortium (IWK) seluas 16.74 ekar dan sebahagian kawasan industri Green Tech Park (100 ekar).
“Tapak strategik lain seperti kawasan rumah mampu milik, tapak masjid, ‘Heart of the Island‘ (HOTI) dan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri pula dijangka siap antara suku keempat 2026 hingga 2030,” jelasnya.
Mengulas mengenai perkembangan semasa pembangunan berkenaan, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga telah memulakan pembinaan jambatan kekal dan jalan masuk utama ke Pulau Silikon melalui projek Pan Island Link 2A (PIL 2A) bernilai RM389 juta.
Jambatan sementara yang menghubungkan bahagian selatan Pulau Pinang ke Pulau Silikon telah siap sepenuhnya, manakala jambatan kekal serta akses utama sepanjang 1.5 kilometer telah dimulakan.
“Selain itu, pembinaan loji IWK juga telah menerima kelulusan dan dijangka bermula selewat-lewatnya suku pertama 2026,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa janji-janji kepada komuniti nelayan yang terjejas akibat projek itu telah dilaksanakan termasuk bayaran ex-gratia berjumlah RM11.9 juta kepada 795 nelayan yang layak serta pemberian bot baharu bersaiz 27 kaki panjang lengkap dengan enjin dan peralatan menangkap ikan.
“Kerajaan Negeri amat komited terhadap Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kesemua sembilan unit nelayan terlibat telah menerima bantuan ex-gratia.
“Empat unit nelayan Tahap 1 pula akan menerima bot dan enjin berserta peralatan menangkap ikan walaupun Kerajaan Negeri kini hanya melaksanakan tambakan sebuah pulau sahaja berbanding sebelum ini tiga pulau.
Malah, 14 daripada 61 bangsal nelayan bernilai RM1.039 juta juga telah diserahkan kepada nelayan di Kampung Binjai yang mana bangsal-bangsal ini dibina dengan struktur yang lebih kukuh lengkap kemudahan menambat bot.
“Manakala, baki bangsal yang melibatkan anggaran kos RM4.22 juta kepada nelayan Permatang Tepi Laut dan Kampung Binjai akan siap secara berfasa menjelang tahun 2027,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan kemudahan masyarakat setempat, Kon Yeow memberitahu bahawa sebuah bangunan gantian baharu dikenali sebagai Pusat Kegiatan Desa di Permatang Tepi Laut dengan kos RM900,000 telah siap dan akan digunakan sebagai tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), pusat perkhidmtan digital dan kelas jahitan.
“Selain itu, kerja perancangan akhir sedang dilaksanakan bagi membina Medan Selera Matang merangkumi 10 gerai perniagaan, restoran, dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan kawasan riadah yang mana kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM36 juta,” katanya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ALISSALA THIAN & DARWINA MOHD. DAUD