TELUK BAHANG – Pusat Latihan Zakat (PULAZA) kini dijenamakan semula sebagai Institut Latihan Islam Pulau Pinang (ILIPP) sebagai Institut milik penuh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang pertama di Malaysia.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, ILIPP yang dijenamakan semula mampu memainkan peranan lebih luas dalam konteks memperkasa pembangunan
agama Islam di negeri Pulau Pinang melalui platform latihan dan induksi yang lebih efektif.
“ILIPP menawarkan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan latihan khususnya kepada semua pegawai dan kakitangan institusi Islam di negeri Pulau Pinang dan Malaysia amnya.
“Pada tanggal 31 Julai 2025 bersempena dengan Seminar Maqasid Syariah Negeri Pulau Pinang 2025, kita telah melancarkan Modul Latihan ILIPP bagi diguna pakai secara lebih sistematik dan bersepadu untuk memastikan keberkesanan pengoperasian ILIPP.
“Modul yang dibangunkan ini merupakan satu langkah proaktif ke arah memperkukuh pembangunan modal insan dengan lebih signifikan,” ujarnya pada Majlis Perasmian ILIPP dekat Pantai Aceh, Balik Pulau di sini pagi tadi.
Perasmian disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT), Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman; Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhammad Kairi Ghazali dan dif-dif jemputan lain.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu, Kerajaan Negeri sangat komited untuk terus memperkasakan pembangunan agama islam di negeri ini.

“Justeru, dalam konteks Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI 2030) yang menjadi gagasan utama bagi memacu usaha memartabatkan syiar Islam di negeri ini yang merangkumi lim teras utama iaitu pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiah,” katanya lagi.