Pulihara Makam Dato’ Koyah sebagai monumen warisan negeri

GEORGE TOWN – Kerja-kerja pemuliharaan semula Makam Datuk Koyah berusia 175 tahun dekat Jalan Transfer di tengah-tengah Bandaraya George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO sebagai satu lagi monumen warisan di negeri ini memerlukan dana antara RM800,000 hingga RM2 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau mengeluarkan peruntukan warisan sebanyak RM100,000, manakala RM250,000 melalui agensi persekutuan, Think City.

Katanya, sumbangan RM100,000 tersebut diserahkan kepada wakil Persatuan Warisan Datuk Koyah, selepas mendapat sokongan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sendiri.

“Bangunan ini adalah sebahagian daripada warisan dan sejarah negeri Pulau Pinang kerana ia berusia 175 tahun. “Ia seharusnya dijadikan milikan semua tak kira orang Islam atau bukan Islam, menjadi satu kebanggaan untuk George Town dan Pulau Pinang.

“Pihak MAINPP sendiri telahpun bersetuju untuk menyegerakan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan bangunan ini.

“Saya berharap para pencinta warisan turut dapat menyumbang pada usaha memulihara bangunan warisan ini,” jelasnya selepas melawat bangunan warisan tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir).

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam memberitahu, kerja-kerja pemulihan berwajib termasuk merobohkan sebahagian daripada binaan batu yang rosak serta membaikpulih kerosakan pada struktur tingkap, bumbung dan pintu sedia ada pada bangunan warisan tersebut.

Bangunan Makam Datuk Koyah atau nama asalnya, Datuk Syed Mustapha Idris dibina pada tahun 1840 oleh para pengikutnya.

Koyah bermaksud tuan, guru atau orang yang dihormati, dengan kewujudan makam tersebut, ia menjadi salah satu simbol penempatan awal masyarakat India Muslim di negeri ini.