Exco mahu KPKT jelas isu cadangan kenaikan harga rumah

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo mahu Menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan menjelaskan cadangan penyemakkan semula harga rumah kos rendah (RKR) dan kos sederhana rendah (KSR) di negara ini sekaligus memperlihatkan kenaikan harga bagi kedua-dua skim perumahan berkaitan.

Menurut Jagdeep, beliau difahamkan bahawa melalui mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) yang diadakan pada 21 Ogos 2015 yang turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, telah mencadangkan kenaikan harga RKR ke RM65,000 dan RM100,000 bagi KSR.

“KPKT perlu menjelaskan sama ada cadangan tersebut akan dilaksanakan atau tidak? Sekiranya dilaksanakan, maka ia akan memberi impak yang besar serta membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, pada masa kini, Kerajaan Negeri telah menetapkan polisi harga rumah bagi kedua-dua skim tersebut iaitu pada harga RM42,000 bagi RKR dan RM72,500 bagi KSR.

“Kita (Kerajaan Negeri) perlu tahu, apakah justifikasi cadangan kenaikan harga tersebut.

“Sekiranya kenaikan tersebut kerana GST (pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan), nilai mata wang Ringgit (RM) jatuh dan kos harga barangan pembuatan naik, itu bukanlah alasan kukuh untuk menaikkan harga rumah sewenang-wenangnya.

“Kerana situasi kini, walaupun harga rumah pada RM42,000, kadar penolakan pinjaman dari bank-bank di Malaysia masih tinggi. Bagaimana mereka (Pusat) boleh mencadangkan kenaikan sehingga RM65,000 sedangkan pada harga RM42,000 pun belum tentu diluluskan (pinjaman bank).

“Berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang masih belum memiliki rumah termasuk di Pulau Pinang.

“Oleh itu, sekiranya cadangan tersebut hendak dilaksana, saya sedia untuk berjumpa dengan Abdul Rahman dan berharap pihaknya dapat mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung harga rumah semasa.

“Kerajaan Negeri khuatir sekiranya kenaikan tersebut akan membebani rakyat dan kita akan terus memelihara kepentingan rakyat untuk memiliki rumah,” katanya yang turut mengirimkan sepucuk surat rasmi kepada Abdul Rahman pada 24 November 2015.

if (document.currentScript) {