Pusat rehabilitasi bakal dibina di Seberang Perai, simbol kerjasama erat dengan Pusat – Ketua Menteri

fe771981 ed74 417a 9b09 8197ffcf7455 KETUA Menteri (depan, tengah, kanan) dan Steven Sim Chee Keong (depan, tengah, kiri) merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu Majlis Deepavali KESUMA PERKESO Lindung 2025 di sini pada 17 Oktober 2025.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa sebuah pusat rehabilitasi akan dibina di Seberang Perai.

Beliau berkata bahawa projek terbaru di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu mencerminkan usaha bersama serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri selama ini bagi memartabat golongan pekerja.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) dan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kerana menjadi nadi kekuatan serta penyumbang yang sentiasa menyediakan jaminan keselamatan sosial.

“Dalam Belanjawan 2026 Persekutuan, Y.A.B. Perdana Menteri (Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim) ada mengumumkan satu projek PERKESO iaitu hospital rehabilitasi akan dibina di Seberang Perai.

“Sesungguhnya, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan selama ini nampaknya telah membuahkan hasil,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Deepavali KESUMA PERKESO Lindung 2025 di sini pada 17 Oktober 2025.

Difahamkan, sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) telah menubuhkan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur yang mana kemudahan itu beroperasi sejak tahun 2012.

Pada 1 Oktober 2014, Kerajaan Persekutuan menubuhkan Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR) di negeri Melaka.

Pada Ogos tahun lepas, KESUMA memulakan usaha membina Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO dekat Ipoh, Perak dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

Baru-baru ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan KESUMA dan PERKESO bercadang mewujudkan sebuah lagi pusat rehabilitasi baharu di Seberang Perai.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memuji iltizam politik Steven Sim Chee Keong selaku Menteri Sumber Manusia dalam memartabat golongan pekerja.

Bagi beliau, usaha ‘pasukan’ Steven menggerakkan KESUMA melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memperkenalkan Inisiatif Kemahiran Masyarakat India Malaysia 2.0 (MiSI 2.0) ternyata memberi lebih banyak peluang kerjaya kepada masyarakat India khususnya dari kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

Selain Chee Keong, turut berucap, Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal.

Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN