Pusat sasar 59 peratus penyertaan pekerja wanita tahun 2025 – Menteri

(Dari kiri) V. Sivakumar, Ketua Menteri dan Aiman Athirah Sabu dalam sidang media berkaitan seusai Majlis Sambutan Bulan Pemerkasaan Wanita 2023 di Setia SPICE Convention Centre di sini pada 12 Mac 2023.

BAYAN LEPAS – Kerajaan Persekutuan menyasarkan 39 peratus jumlah penyertaan tenaga kerja wanita sekarang ditingkatkan kepada 59 peratus pada tahun 2025.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow seusai Majlis Perasmian Sambutan Bulan Pemerkasaan Wanita 2023 Majlis Sambutan Bulan Pemerkasaan Wanita 2023 di Setia SPICE Convention Centre di sini pada 12 Mac 2023.

Turut serta, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu; Timbalan Ketua Setiausaha Operasi bagi Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Ketua Eksekutif Kumpulan Syarikat Talent Corporation Malaysia Berhad, Thomas Mathew.

“Kita mahu melihat penglibatan golongan Hawa dalam semua sektor (pekerjaan) mencapai sekurang-kurangnya 59 peratus.

“Kita (Kementerian Sumber Manusia) juga mahu memastikan mereka yang telah meninggalkan sektor tenaga kerja atas sebab-sebab tertentu (seperti) mungkin atas sebab komitmen keluarga dan sebagainya untuk kembali berkhidmat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah, Perak.

Di samping itu, beliau berkata jumlah graduan universiti dalam kalangan gender wanita adalah lebih ramai berbanding lelaki.

Namun, menurutnya lagi graduan universiti dalam kalangan wanita ramai tidak terjun dalam sektor tenaga kerja aktif atau keluar dari sektor itu selepas satu tempoh bekerjaya.

“Kerana komitmen tertentu, mereka terpaksa keluar dari sektor pekerjaan dan menjadi surirumah,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar sekali lagi menjelaskan bahawa penguatkuasaan Pindaan Akta Kerja 1955 yang sebelum ini ditangguhkan, akan tetap diteruskan mulai 1 Januari tahun ini termasuk melibatkan majikan swasta.

Menurut beliau, antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

“Kita kena melihat bukan daripada segi beban (kepada majikan swasta) semata-mata, kita juga boleh lihat (kesan penguatkuasaan pindaan akta tersebut) kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja juga.

“Saya telah umumkan (penguatkuasaan pindaan akta) ini pada bulan Januari lagi, perkara ini telah menjadi undang-undang (yang mana) kita telah memberikan tempoh (penangguhan) agak panjang selama enam bulan (sejak 1 September 2022) dan sekarang ia telahpun dilaksanakan,” tegasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN