BAGAN DALAM – Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang (PWMPP) menyatakan komitmen untuk memastikan tiada lapisan masyarakat di negeri ini yang terpinggir atau dilupakan, khususnya ketika meraikan musim perayaan.

Timbalan Pengerusi PWMPP, Datin Noraini Abd. Jalil berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian mewakili Pengerusi PWMPP, Puan Tan Lean Kee, dalam majlis Sambutan Hari Deepavali Bersama-sama Komuniti 2026 di Perpustakaan Digital Butterworth, sebentar tadi.
Menurut beliau, penganjuran program kebajikan seumpama ini menjadi bukti keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
“Kepada 25 keluarga yang diraikan pada hari ini, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. Masyarakat sentiasa mempunyai ruang untuk berkongsi rezeki, membantu dan menyokong antara satu sama lain.
“PWMPP berharap perhatian serta sumbangan yang dihulurkan ini menjadi tanda bahawa anda sentiasa diingati dan dihargai,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan kepentingan jalinan kerjasama strategik antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, agensi kerajaan dan individu prihatin bagi memperkasakan lagi agenda kebajikan komuniti.
Beliau menyifatkan kolaborasi erat antara PWMPP, Pertubuhan Kebajikan Transformasi Wanita Pulau Pinang (PETRANITA), Perpustakaan Digital Butterworth, Subang Suria Berhad serta rakan-rakan strategik lain membuktikan bahawa kesatuan matlamat mampu mencetuskan impak positif kepada rakyat.


Turut memeriahkan majlis tersebut ialah Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang menyampaikan ucapan alu-aluan serta menyampaikan sumbangan ‘duit raya’ kepada para penerima.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB